Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Lagi banyak Sanusi bercakap, lagi ramai sokong kerajaan perpaduan'

Pengarah Pilihan Raya Amanah, Mohd Sany Hamzan membidas Muhammad Sanusi Md Nor yang berikrar hendak memecah belahkan hubungan parti-parti dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, dia secara sinis berkata Pengarah Pilihan Raya PN itu hanya pandai berkata-kata.

"Bercakap ini tak kena bayar. Dia (sama) macam menyanyilah tak kena bayar. Kerajaan perpaduan hari ini masih lagi kukuh termasuk sokongan (parti) daripada Sabah dan Sarawak," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Semalam, Sanusi berkata pihaknya akan berusaha membuat hubungan parti-parti dalam kerajaan yang menurutnya kini retak “menjadi belah”.

Sanusi berkata demikian ketika mengulas hasrat MCA dan MIC untuk memboikot PRK Kuala Kubu Bharu yang jelas memberi kelebihan kepada PN.

"Itu masalah rumah tangga mereka. Kita akan retakkan lagi untuk menjadi belah. Mereka sudah retak, kita akan pecahkan lagi. Itu kerja politik," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Sany berkata kenyataan Menteri Besar Kedah tidak akan menyebabkan PH semakin lemah.

"Setiap kali dia cakap (buat kenyataan), ada MP Bersatu (isytihar) sokong PMX dan hingga sekarang sudah ada tujuh MP sudah nyatakan sokongan kepada PMX.

"Jadi Kita minta dia terus bercakaplah (supaya) nanti lagi banyak ahli parlimen akan sokong kita," katanya yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat.

‘MCA, MIC jangan tunjuk keras kepala’

Mengulas mengenai isu MCA dan MIC yang tidak mahu memberi sokongan kepada calon PH, Mohd Sany meminta agar semua parti komponen akur dengan keputusan yang dibuat pimpinan parti dalam kerajaan perpaduan.

Dia mengakui ketika era pentadbiran BN, parti-parti komponen seperti MCA dan MIC bebas membuat keputusan sendiri namun situasi itu kini berbeza apabila bergabung dalam kerajaan perpaduan.

"Tak semua benda kita boleh dapat dan tak semua benda kita tak dapat, kena ada menang-menang (win-win). Kalau semua nak tunjuk keras kepala susahlah.

"Kalau satu hari nanti kerusi MCA dan MIC (ada pilihan raya), kita akan bantu juga. Inilah sikap kita dalam kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Mohd Sany turut menyeru agar semua pihak dalam kerajaan perpaduan berganding bahu bagi memenangi PRK Kuala Kubu Bharu nanti.

"Kita tengok (statistik) pada PRN lepas PH menang tak berapa tinggi, jadi dengan kesepakatan kita ini PH akan dinilai pengundi melalui kenyataan dan perbuatan kita.

"Kalau pengundi kita tengok kerjasama kita, ia akan beri keyakinan untuk mereka," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Sany turut mengingatkan pemimpin dalam kerajaan perpaduan agar menghentikan segera perbuatan ‘menembak kaki sendiri’.

Ini selepas beberapa pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan tampil mengkritik pentadbiran Anwar secara terbuka.

Dia menasihatkan setiap isu yang timbul harus dibincangkan melalui meja rundingan bukan dengan membuat kenyataan media atau menyuarakan kritikan melalui media sosial.

"Saya nak komen juga pandangan semua pemimpin politik dalam kerajaan perpaduan ini. Jangan suka tembak kaki sendiri.

"Saya tak mahu bagi contoh (yang mana) tapi ada kenyataan yang boleh sebabkan kerukunan yang kita bina musnah dan pudar.

"Bukan bermaksud tak boleh kritik cuma harus kena pada medannya. Dulu medannya di (acara) demonstrasi, pentas-pentas ceramah tapi bila sudah jadi kerajaan ada sedikit berbeza," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS