Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga komander Firdaus mohon diberi ruang bertenang

Keluarga Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam nahas dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak memohon kerjasama semua pihak supaya memberikan ruang kepada mereka untuk bertenang.

Adik Muhammad Firdaus yang mahu dikenali sebagai Syahira berkata mereka amat terkejut dengan kejadian itu.

"Kami minta kerjasama semua pihak agar dapat beri ruang untuk keluarga bertenang,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Pantai Jerejak di George Town hari ini.

Syahira berkata ibu bapanya telah bertolak ke Pangkalan TLDM Lumut sebaik mengetahui mengenai tragedi itu.

Beliau berkata jenazah akan dibawa balik ke rumahnya di Pantai Jerejak di Georgetown untuk urusan pengebumian.

Menurutnya Muhammad Firdaus, 44, yang merupakan anak sulung daripada tujuh adik beradik itu sangat baik dan mesra dengan semua ahli keluarganya.

Nahas membabitkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec (M502-6) yang berlaku pada 9.32 pagi tadi semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM termasuk tiga wanita.

- Bernama

Lihat Komen
ADS