Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak sampai 2 tahun, kerajaan PN Perlis dah terpalit siasatan SPRM'
Diterbitkan:  Apr 25, 2024 2:33 PM
Dikemaskini: 6:43 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Razlan Rafii berkata dia terkejut apabila kerajaan Perlis terkait dengan siasatan SPRM tidak sampai dua tahun PN mengambil alih pentadbiran negeri itu.

Razlan merujuk penahanan anak Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli, seorang pegawai kanan pejabat menteri besar dan lima individu lagi bagi membantu siasatan dalam kes membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000, semalam.

“Dalam tempoh sesingkat itu, belum ada pencapaian yang benar-benar boleh dibanggakan, tetapi lain pula berlaku apabila kerajaan Perlis terpalit isu penyelewengan yang serius kerana ia melibatkan anak ketua pentadbiran negeri, serta orang kuat dalam pejabat Menteri Besar.

“Apa yang amat mengejutkan dan menimbulkan persoalan adalah bagaimana anak menteri besar yang tiada kena mengena dengan pentadbiran negeri, boleh terlibat sama dalam siasatan ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, laporan Berita Harian yang memetik sumber menyatakan SPRM menahan anak Mohd Shukri dan enam individu lagi bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen membabitkan projek pembangunan prasarana seperti membaik pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga kini.

Menurut laporan itu, siasatan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu terhadap kerja-kerja yang tidak dilaksanakan.

Mohd Shukri Ramli

Mohd Shukri berkata dia akan memberi penjelasan berkenaan perkara itu dalam sidang DUN Perlis hari ini.

Dia juga enggan mengulas lanjut berkenaan perkara itu dan menyerahkannya kepada SPRM.

Razlan berkata Mohd Shukri dan kerajaan Perlis perlu memberi penjelasan memandangkan ia berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana di negeri itu.

“Sebagai menteri besar dan pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri wajar mendedahkan apa peranan anaknya dalam kerajaan negeri? Begitu juga apa hubungan pegawai kanan Pejabat Menteri Besar dengan anaknya,” katanya lagi.

Razlan juga membangkitkan kenyataan Mohd Shukri sehari sebelum penangkapan anaknya, iaitu PN Perlis sedia menggantikan Umno dalam mentadbir negeri itu.

Tangkapan itu, katanya lagi, menunjukkan pentadbiran PN "tidaklah bersih seperti dikata" dan malah berbeza dengan tema PN iaitu "prihatin, bersih dan stabil".

Razlan berkata dia juga menantikan reaksi pimpinan tinggi PAS dan PN memandangkan reputasi Mohd Shukri selaku menteri besar dan pemimpin PAS Perlis telah tercalar.

“Sebagai sebuah parti Islam yang sering melabel Umno dengan pelbagai gelaran, cacian dan tuduhan, mana mungkin PAS boleh terpalit dengan isu penyelewengan seperti ini.

“Namun kini nasi telah menjadi bubur, kerajaan yang baru berusia setahun lima bulan telah pun tercalar reputasinya," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS