Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pukul orang tua: Polis tahan pemilik, pembantu rumah kebajikan

Polis menahan pemilik dan pembantu sebuah rumah kebajikan di Taman Desa Aman dekat Kulim bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang penghuni warga emas dipukul, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Azizul Mohd Khairi berkata pihaknya menerima laporan bahawa penghuni rumah kebajikan terbabit iaitu seorang lelaki tempatan berusia 70 tahun dipukul menggunakan kayu pada 3.50 petang semalam.

“Terdapat empat rakaman video yang telah tular di media sosial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim telah menjalankan siasatan dengan menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan pemilik rumah kebajikan berkenaan.

“Turut ditahan bagi membantu siasatan ialah seorang perempuan tempatan berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa yang nyanyuk dikatakan sering mendatangkan masalah.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengesan sekiranya masih ada mangsa lain yang dipukul di rumah kebajikan terbabit...kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mohd Azizul menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu kerana siasatan masih dijalankan.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan turut diminta untuk menyalurkan maklumat itu kepada pihak polis.

Terdahulu, tular video berdurasi hampir satu minit memaparkan seorang wanita memukul seorang lelaki menggunakan kayu dipercayai berlaku di sebuah pusat jagaan warga emas di Taman Desa Aman, dekat Kulim.

- Bernama

Lihat Komen
ADS