Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Flotila kemanusiaan ke Gaza tertangguh lagi
Diterbitkan:  Apr 26, 2024 10:50 AM
Dikemaskini: 4:18 AM

GLOBAL | Misi pelayaran Break The Siege: Mission To Gaza 2024 yang dirancang untuk berlepas pada hari ini terpaksa ditangguhkan lagi berikutan tekanan dari rejim Zionis supaya lesen pendaftaran kapal utama dalam misi itu, Akdeniz, dibatalkan.

Dalam kenyataan hari ini, Freedom Flotilla Coalition (FFC) berkata mereka sudah sedia untuk memulakan pelayaran dan semua dokumen yang diperlukan dihantar kepada lembaga pelabuhan.

Kargo pula, kata mereka, telah dimuatkan dan sedia untuk pelayaran ke Gaza.

Bagaimanapun, FFC berkata, mereka dimaklumkan terdapat sekatan pentadbiran yang dimulakan Israel untuk menghalang misi tersebut daripada berlepas.

"Israel sedang memberi tekanan kepada Republik Guinea Bissau supaya menarik balik pendaftaran atau lesen kapal utama kami - Akdeniz (Mediterranean).

"Ini mencetuskan permintaan untuk pemeriksaan tambahan, ini dari negara kapal itu didaftarkan, yang menangguhkan pelayaran pada 26 April seperti yang dirancang,” katanya.

FFC berkata apa yang berlaku itu adalah satu lagi contoh bagaimana Israel menghalang penghantaran bantuan untuk menyelamatkan nyawa penduduk Gaza yang menghadapi kebuluran terancang.

"Berapa ramai lagi kanak-kanak akan mati kerana kekurangan khasiat makanan dan penyahhidratan disebabkan penangguhan ini dan kepungan berterusan yang perlu dipecahkan?”katanya.

Menurut pertubuhan itu lagi apa yang berlaku hari ini bukan tekanan kali pertama Tel Aviv menghalang kapal-kapal membawa misi kemanusiaan daripada belayar.

"Kami pernah mengatasi taktik mereka sebelum ini dan bekerja keras untuk menyelesaikan percubaan terbaru mereka.

"Kapal kami sudah memenuhi pemeriksaan yang diperlukan dan kami yakin Akdeniz akan lulus pemeriksaan ini jika tiada campur tangan politik.

"Kami menjangkakan ini akan mengambil masa beberapa hari. Israel tidak akan mematahkan semangat kami untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Gaza,” kata FFC.

Misi tersebut turut disertai 18 warga Malaysia bersama masyarakat awam antarabangsa untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut dengan menaiki flotila.

Mereka terdiri daripada doktor, aktivis kemanusiaan dan pengamal media.

Antara pengamal media Malaysia yang menyertai flotila itu ialah penulis dan wartawan Bernama, Muhammad Hafizuddin Mohd Yusof, dan jurukamera Bernama TV Mohammad Nulhakim Jailan.

Aktivis dari 30 negara termasuk Malaysia itu berkumpul di Istanbul sejak 18 April sebagai persiapan akhir sempena misi tersebut.

Tarikh pelayaran asal ialah pada 21 April sebelum ditunda dua kali kepada 24 April dan 26 April.

- Bernama

Lihat Komen
ADS