Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai SPRM: Najib percaya entiti luar pesisir milik raja Saudi

KES 1MDB | Pegawai penyiasat SPRM Nur Aida Arifin bersetuju bahawa Najib razak percaya Almarhum Raja Arab Saudi Abdullah Abdulaziz merupakan pemilik kepada entiti luar pesisir yang memindahkan RM90 juta ke akaun peribadinya pada 2012.

Nur Aida yang merupakan saksi pendakwaan ke-49 berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB bernilai RM2.27 bilion terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Dia berkata Najib yang merupakan bekas perdana menteri dan menteri kewangan menyatakan perkara itu ketika disoal siasat SPRM pada 2018.

Wan Azwan: Najib beritahu pegawai SPRM tentang keyakinannya yang Blackstone Asia Real Estate Partners dikawal atau dimiliki Raja Abdullah. Apabila keterangannya (Najib) dirakam pegawai SPRM, (adakah anda setuju) Najib tidak pernah melihat sebarang dokumen yang menunjukkan Blackstone Asia Real Estate Partners dimiliki secara benifisial oleh Tan Kim Loong?

Nur Aida: Setuju.

Wan Azwan: (Adakah anda setuju) Najib tidak pernah mengarahkan Tan Kim Loong untuk memindahkan RM90,899,927.28 juta ke akaunnya di Ambank?

Nur Aida: Setuju.

Pasukan pembelaan Najib sebelum ini menyatakan dia yakin wang berbilion ringgit yang dimasukkan ke akaunnya adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Mereka turut mendakwa sebahagian besar wang tersebut telah dipulangkan.

Pihak pendakwaan pula berhujah yang Najib pada 2012 menerima wang berjumlah lebih RM90 juta milik 1MDB, menerusi Blackstone Asia Real Estate Partners yang didakwa sebagai milik Tan.

Tan dikatakan antara sekutu Jho Low, yang kini masih diburu pihak berkuasa Malaysia bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Pihak pendakwaan juga berhujah yang wang RM90 juta itu diperolehi apabila Low - bagi pihak Najib - memberi arahan kepada 1MDB untuk membeli aset-aset pada nilai yang mencurigakan.

Perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa minggu depan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS