Paling Popular
Terkini

PRK KKB | Gerakan tidak berkecil hati selepas tidak diberi peluang untuk bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Presidennya Dominic Lau berkata ini kerana pemilihan calon PN daripada Bersatu berdasarkan kesepakatan semua parti komponen dalam gabungan tersebut.

"Memang dalam penilaian dan pilihan calon PN pada PRK, kita melaksanakan dengan cara yang profesional cara yang adil dan saksama.

"Semua pihak yang menunjukkan hasrat untuk senaraikan calon parti masing-masing untuk bertanding diberi masa dan peluang untuk kita katakan apakah kelebihan komponen parti masing-masing.

"Pada hari mesyuarat pemilihan calon kita membuat keputusan bersama meletakkan calon yang bagus dan terbaik untuk mewakili PN," katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos tahun lepas, calon Gerakan bertanding mewakili PN. Namun, Teoh Kien Hong dikalahkan oleh mendiang Lee Kee Hiong daripada PH dengan majoriti 4,119 undi.

Kerusi itu kosong selepas Lee meninggal dunia pada 21 Mac.

Pada awalnya, ramai pemerhati politik membuat ramalan bahawa Gerakan akan bertanding semula dalam PRK.

Malah, pada 20 Apr, Lau menyatakan keinginan Gerakan untuk meletakkan calon di bawah tiket PN di Kuala Kubu Bharu.

Namun, PN mengumumkan pemangku ketua bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut selaku calon. Dia akan dicabar oleh Pang Sock Tao daripada PH dan dua calon Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Sementara itu, Lau berkata bahawa partinya akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada PN.

"Kita terutamanya akan menarik sokongan kaum bukan Melayu.

"Gerakan akan berusaha sedaya upaya mendapatkan sokongan buat PN," katanya.

Kuala Kubu Bharu yang dikenali sebagai 'kerusi campur' dengan pecahan pengundi Melayu (46%), Cina (30%) dan India (18%) dan lain-lain (6%).

Seramai 40,226 pengundi layak mengundi pada PRK ini.

Daripada jumlah itu, seramai 39,362 orang adalah pengundi biasa, 238 orang tentera dan pasangan, 625 orang polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan diadakan pada 11 Mei manakala tarikh undi awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.

Lihat Komen
ADS