Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada duit raya, rumah terbuka S'gor bukan kempen - MB

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menjelaskan tiada unsur berkempen sepanjang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri kerajaan negeri di Bandar Kuala Kubu Bharu malam kelmarin.

Katanya, malahan dia beberapa kali menekankan kerajaan Selangor menjemput semua pihak termasuk pihak pembangkang hadir ke program itu.

“Sepanjang program ini tiada langsung elemen berkempen tetapi kalau orang nak datang pakai masing-masing dari jauh saya tidak boleh halang. Takkan saya nak suruh tukar baju.

“Malahan dalam ucapan saya, saya mengalu-alukan semua untuk hadir dan sempat jemput pihak pembangkang kalau hendak hadir sama-sama tiada masalah sebab ini program raya,” katanya.

Amirudin mengulas kritikan Bersih yang membidas penganjuran rumah terbuka Aidilfitri kerajaan Selangor di Bandar Kuala Kubu Bharu malam kelmarin.

NGO itu mendakwa majlis Aidilfitri berkenaan bercanggah dalam peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).

Bercakap mengenai faktor penentuan pemilihan lokasi rumah terbuka di Kuala Kubu Bharu, Amirudin berkata pemilihan tempat dibuat secara bergilir-gilir.

Ini kerana majlis sambutan perayaan Tahun Baru China sebelum ini telah pun diadakan di daerah Sepang dan Dengkil, katanya lagi.

Malah menurutnya, kawasan ini termasuk dalam program perpaduan Gagasan Rumpun Selangor melibatkan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

“Ini memang rotation sebab sebelum ini kita buat semua daerah.

"Tapi memang kita pilih kawasan ini kebetulan ini adalah lokaliti pertama rumpun oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor. Melihat respon baik di sini kita buat di sini,” katanya.

Gagasan Rumpun Selangor merupakan program bertujuan memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat negeri itu.

Amirudin turut menjelaskan pembatalan pemberian duit raya pada program itu walaupun disebut dalam atur cara majlis.

“Itu setelah dapat nasihat dan sebagainya sebab nanti orang tafsir bukan-bukan kita tak mahu jadi kita ambil langkah berjaga-jaga selepas teguran tersebut.

"Sebab itu saya sebut tadi,sebab kita melihat dan memandang ke semua pandangan-pandangan tertentu,” jawabnya ketika ditanya mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, ketika ditanya pembatalan pemberian duit raya secara tiba-tiba ketika majlis berlangsung sedangkan acara itu telah dinyatakan dalam tentatif program pada malam itu,

Amirudin berkata demikian kepada pemberita selepas program Rumah Terbuka Aidilfitri kerajaan negeri Selangor bertemakan ‘Riuh Raya #KitaSelangor’ yang berlangsung pada Sabtu, 27 April bermula jam 8 malam di Bandar Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor.

Pada Jumaat lalu, Bersih mempersoal lokasi program rumah terbuka Aidilfitri oleh kerajaan negeri Selangor diadakan di Kuala Kubu Bharu sejurus selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil di kawasan berkenaan.

Pemberian jamuan makanan atau wang kepada pengundi merupakan kesalahan di bawah undang-undang pilihan raya.

Lihat Komen
ADS