Paling Popular
Terkini

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard memaklumkan dia akan didakwa sekali lagi esok di bawah akta hasutan di Mahkamah Seksyen Johor Bahru.

Menurutnya, pertuduhan itu berkaitan satu hantaran yang dibuatnya di media sosial mengenai projek kasino di Forest City.

“Esok, satu lagi. Esok, saya akan bertolak ke Johor Bahru di Mahkamah Seksyen Johor Bahru kerana saya sekali lagi dituduh dibawah Akta Hasutan...

"Kerana komentar saya di Faceebook berkenaan dengan laporan Bloomberg mengenai pembukaan Casino," katanya pada sidang media di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul turut mengesahkan perkara itu namun belum ada maklumat lanjut mengenai pendakwaan esok.

“Pertuduhan terkait dengan hantaran di Facebook Chegubard berhubung laporan Casino Forest City.

"Kita akan tahu pertuduhan pada pagi esok tapi jika dimaklumkan awal kita akan maklumkan kepada media.

“Tapi esok sah akan didakwa di Mahkamah Seksyen Johor Bahru,” katanya.

Badrul hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memfitnah dan menghasut untuk merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Chegu Bard,  45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerbitkan penerbitan menghasut di Facebook di bawah perenggan 4(1)c Akta Hasutan 1948 [Akta]15 yang boleh dihukum dibawah subseksyen 4(1) akta yang sama yang dilakukan pada 6 April lalu.

Dia juga berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah di mana dia didakwa mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, Badrul dilaporkan menyindir Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengenai hub kewangan yang akan dibina di Forest City, Johor menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Bagaimanapun Anwar, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg itu, selain menggesa tindakan diambil berhubung laporan itu.

Bloomberg memetik pihak yang tidak dinamakan melaporkan Anwar menemui pengasas Berjaya Corporation Bhd Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Genting Lim Kok Thay untuk membincangkan lesen kasino di Forest City minggu lalu.

Lihat Komen
ADS