Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) untuk projek lapangan terbang Kulim dan pembangunan sekitarnya kini tersedia untuk tatapan awam.
Menurut notis Jabatan Alam Sekitar (JAS), laporan itu tersedia selama sebulan dari 28 April hingga 27 Mei. Orang ramai diberi masa sehingga 11 Jun untuk mengemukakan maklum balas mengenai projek itu.
Laporan itu boleh didapati dari laman web JAS, serta perpustakaan jabatan itu di Putrajaya, pejabat JAS Kedah di Alor Setar, cawangannya di Sungai Petani, dan pejabat Majlis Perbandaran Sungai Petani.
Menurut laporan itu, projek Kedah Aerotropolis terletak di Sidam Kiri, di bahagian tenggara Sungai Petani dan kira-kira 20 kilometer ke utara Kulim Hi-Tech Park.
Ia terdiri daripada tiga komponen seluas 3704.89 hektar, yang akan melibatkan pengambilalihan tujuh kampung di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk memberi laluan kepada projek itu.
Tujuh kampung itu ialah Kampung Jerong, Kampung Titi Panjang, Kampung Tanah Lichin, Kampung Kuala Sedim, Kampung Kemumbung, Kampung Lubuk Kiab, dan Ladang Padang Buluh yang melibatkan 408 isi rumah.
Komponen pertama ialah Lapangan Terbang Kulim (KXP) dengan dua landasan dan kemudahan sokongan untuk pengendalian kargo udara, seluas 2069.56 hektar.
Reka bentuk itu juga termasuk penyediaan bangunan terminal penumpang yang boleh diperluaskan daripada tiga juta penumpang setahun dalam Fasa 1 projek kepada 20 juta setahun dalam Fasa 4.
Walau bagaimanapun, bangunan terminal hanya akan dibina jika dan apabila ada keperluan pada masa hadapan. Pelan semasa mengutamakan operasi kargo, dan operasi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).
Komponen kedua ialah taman perniagaan seluas 1107.46 hektar, dan yang ketiga ialah Sidam Logistics Aerospace and Manufacturing Hub (Slam) seluas 527.87 hektar.
Sebelum ini, laporan EIA untuk projek itu telah disediakan untuk tatapan awam pada tahun 2021, yang kemudiannya dikenali sebagai projek "Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan Aerotropolis Kedah".
Dalam laporan terbaru, dinyatakan bahawa perbincangan antara penyokong projek KXP AirportCity Holdings Sdn Bhd dan pelbagai pihak berkepentingan telah menghasilkan Pelan Induk Semakan 40A yang "lebih halus".
Laporan itu disediakan oleh firma GSR Environmental Consultancy Sdn Bhd.