Pemuda PKR (AMK) Perlis menggesa Menteri Besar Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan susulan siasatan SPRM terhadap anaknya dalam kes tuntutan palsu RM600,000.

Terkejut susulan perkara itu, ketuanya Azzin Izzad Bahanuddin berkata kes sebegitu tidak pernah berlaku sepanjang 181 tahun terbentuknya negeri Perlis.

“AMK Perlis menggesa barisan kepimpinan Perikatan Nasional negeri Perlis terutamanya YAB menteri besar bermuhasabah dan bertanggungjawab terhadap isu ini.

“Maka kami menuntut YAB agar meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta,” katanya.

Shukri dilapor ditahan SPRM pagi ini selepas hadir memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

Terdahulu Shukri memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bahawa dia terbuka dengan siasatan dan meminta SPRM menghukum anaknya, jika didapati bersalah.

Katanya, dia selalu berpesan tentang perkara itu dan jika ia tetap berlaku dia “sudah habis ikhtiar”.

SPRM menahan anak Shukri, pegawai kanan pejabatnya dan lima orang lagi susulan siasatan itu.

Siasatan dipercayai menjurus kepada tuntutan palsu terhadap projek baik pulih, penyelenggaraan dan pembangunan kemudahan asas seluruh Perlis yang tidak dijalankan.

Suspek-supek dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat, kontraktor dan penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar Perlis.