Raja Petra: Komen anda boleh buat saya masuk penjara
Blogger Raja Petra Kamarudin, 57, yang disoalsiasat kerana didakwa menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agung, menggesa para pembaca supaya bertanggungjawab terhadap komen mereka di lamanwebnya.
Blogger Raja Petra Kamarudin, 57, yang disoalsiasat kerana didakwa menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agung, menggesa para pembaca supaya bertanggungjawab terhadap komen mereka di lamanwebnya.
"Yang pentingnya, apa yang anda tulis dalam bahagian komen mungkin menyebabkan saya masuk penjara di bawah Akta Hasutan," tulisnya dalam blognya, Malaysia Today.
Semalam, Raja Petra disoalsiasat selama lapan jam di balai polis daerah Dang Wangi berhubung laporan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang mendakwanya menghina Islam dan Yang di-Pertuan Agung.
Selepas selesai disoalsiasat malam tadi, Raja Petra mendakwa, Umno telah menubuhkan sebuah 'pasukan siber' di bawah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said untuk menghantar komen yang berbau hasutan ke lamanwebnya.
"Terdapat 25 orang yang dibayar RM2,750 sebulan untuk menceroboh malaysia-today.net. Mereka membanjiri lamanweb saya dengan kira-kira 500 hingga 600 komen yang sensitif setiap hari dan saya terpaksa bertungkus lumus setiap malam untuk membuangnya dari lamanweb saya," katanya.
Walaupun semua komen yang dihantar itu mesti mendaftar terlebih dahulu dengan Malaysia Today, tetapi Raja Petra mengakui memang sukar baginya untuk memantau semua komen berkenaan.
"Kita ada 20,000 berita dan lima juta komen blogger dari 146 negara," katanya sejak Malaysia Today bermula lima tahun lalu.
Pandang berat
Dalam satu lagi perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpejabat di New York, telah menyuarakan kebimbangannya terhadap tindakan polis menyoalsiasat Raja Petra.
"Kami menggesa pihak berkuasa di Malaysia supaya menghentikan segera gangguan terhadap wartawan internet Raja Petra Kamarudin," kata Pengarah Eksekutifnya, Joel Simon.
"Sebarang perundangan baru yang bertujuan untuk menapis Internet merupakan satu langkah kebelakang terhadap kebebasan akhbar di Malaysia," katanya.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan mengambil tindakan ofensif terhadap blogger menjelang pilihanraya umum yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Selasa lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz memberi amaran bahawa blogger dan penulis di Internet tertakluk kepada undang-undang sedia ada, termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang membenarkan penahanan tanpa bicara.
Minggu lalu, blogger Nathaniel Tan yang juga pembantu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan reman selama empat hari untuk disoalsiasat berhubung komen di lamanwebnya yang mengaitkan seorang timbalan menteri dengan rasuah. Berita asal


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.