Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wanita sarat mengandung kejar pencuri sejauh 50 meter
Diterbitkan:  Apr 30, 2024 1:32 PM
Dikemaskini: 5:32 AM

Seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan, nekad mengerah kudrat berlari sejauh 50 meter mengejar pencuri yang melarikan beg tangannya ketika dia berada di dalam tandas di sebuah pasar raya di Seksyen 23, di Shah Alam, malam tadi.

Usaha wanita berusia 37 tahun dan memiliki dua anak itu berbaloi apabila suspek lelaki berusia 22 tahun berjaya diberkas dengan bantuan orang ramai yang turut mengejar lelaki terbabit selepas mendengar jeritan mangsa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita terbabit yang bekerja sebagai operator kilang pada 10.57 malam.

Beliau berkata semasa kejadian, mangsa telah pergi ke pasar raya itu berseorangan untuk membeli persiapan bersalin bagi menyambut kelahiran anak ketiga.

"Semasa mangsa berada di tandas wanita, beliau menyedari beg sandangnya yang di sangkut di pintu tandas telah dilarikan oleh suspek.

“Mangsa kemudian bergegas keluar dari tandas dan bertindak mengejar serta menjerit meminta bantuan orang ramai, sebelum lelaki itu berjaya ditangkap bersama beg sandang milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita itu tidak mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Shah Alam untuk menunggu waktu melahirkan anak.

Mohd Iqbal berkata siasatan mendapati lelaki yang bekerja di sebuah syarikat penapis air itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek kini direman hingga 2 Mei untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Muhammad Fairunizam Puasa menerusi talian 013-6616 845 bagi membantu siasatan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS