Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan penahanan penulis blog kontroversi Papagomo kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Razarudin berkata Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, ditahan di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur, sekitar tengah hari ini.

“Ya, boleh (sahkan),” kata Razarudin kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas hantaran media sosial yang memaparkan video pendek dua anggota polis menahan Papagomo.

Dia berkata Papagomo akan dibawa ke balai polis daerah Dang Wangi untuk siasatan dan akan direman mengikut Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Difahamkan penahanan itu berdasarkan laporan polis yang dibuat terhadap video yang disiarkan di media sosial malam tadi apabila Papagomo mempertikai pertemuan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan pengasas KK Mart Chai Kee Chan, pada kemuncak kontroversi mengenai stoking dicetak dengan kalimah Allah.

Dalam video sama, Papagomo juga difahamkan mendakwa Agong telah mengarahkan supaya ahli jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, didakwa mengikut Akta Hasutan.

Chegubard telah minta dibicarakan atas tiga pertuduhan menghasut dan mengeluarkan kata-kata fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong - dua kes pertama di Kuala Lumpur berkaitan kontroversi KK Mart manakala pertuduhan kes yang ketiga didengar di Johor Bahru hari ini berkaitan projek kasino di Forest City.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS