Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRK KKB l Masyarakat Orang Asli Kampung Pertak di pekan Kuala Kubu Bharu mahu pihak berkuasa segera membaiki jalan dari penempatan mereka ke tanah perkuburan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Zahidi Kising berkata selama ini mereka terpaksa mengusung mayat di jalan yang curam dan berbatu-bata sebelum boleh ke tanah perkuburan yang sejauh tiga kilometer.

Zahidi Kising

Dia berharap masalah yang dihadapi mereka selama ini akan diselesaikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

"Kami telah membuat permintaan kepada kerajaan negeri, pusat dan juga Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) sejak 2017 lagi.

"Tapi, setiap kali kami diberitahu bahawa tiada peruntukan. Ada kala mereka kata membaiki jalan ini perlu peruntukan yang banyak.

"Baru-baru surat aduan dan permohonan kami untuk membaiki jalan ini sudah tidak dibalas. Kami harap kerajaan negeri atau persekutuan menyelesaikan isu ini sebelum hari mengundi," katanya kepada Malaysiakini.

Kampung Pertak adalah antara enam kampung Orang Asli yang dibina pada awal tahun 2000an di sekitar Kuala Kubu Bharu. Asalnya, mereka dipindah dari kawasan sekitar tapak pembinaan Empangan Sungai Selangor.

Lebih 390 penduduk Kampung Pertak yang terdiri daripada Suku Kaum Temuan kini menetap di kampung itu yang terkenal dengan Air Terjun Kg Pertak dan aktiviti-aktiviti beriadah seperti 'hiking'.

"Bila ada kematian, kami terpaksa pikul mayat di jalan yang curam dan berbatu-bata sebelum ke kubur.

"Ada dua jambatan untuk laluan motosikal dan pejalan kaki di jalan ini. Salah satunya sudah rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi.

"Jika kerajaan turap jalan tar, maka menjadi mudah kepada penduduk kampung dan juga kepada pelancong yang menggunakan jalan yang sama untuk ke air terjun dan aktiviti 'hiking'," katanya.

Pada PRK kali ini, calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao akan berdepan tiga lagi calon, iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.


Baca Tiada permohonan baiki jalan dibuat , kata Jakoa


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.

Lebih 1,290 pengundi Orang Asli layak mengundi dalam PRK ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS