Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua lelaki bermotosikal lepas tembakan di Pasir Mas
Diterbitkan:  May 4, 2024 5:25 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Dua lelaki tidak dikenali telah melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai dua buah kenderaan di Pasir Mas, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes tembakan tersebut yang berlaku sebuah rumah di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas.

Menurutnya, ketika kejadian pengadu bersama sepupunya terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi tembakan di luar rumah kira-kira jam 3.00 pagi dan melihat dua lelaki dipercayai pelaku melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

"Pengadu bersama sepupunya terdengar bunyi empat das tembakan dilepaskan di luar rumahnya. Mereka kemudian bangun dan melihat dari pintu utama terdapat dua lelaki menaiki sebuah motosikal memecut laju ke arah Bunut Susu, Pasir Mas.

"Pengadu mendapati kereta milik sepupunya jenis Perodua Viva warna ungu telah ditembak dan terkena cermin belakang kereta dan sisi kiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati sebuah Perodua Viva milik sepupu pengadu telah ditembak pada bahagian cermin belakang dan sisi kiri. Manakala, sebuah kenderaan lain jenis Mitsubishi Triton pula telah ditembak di bahagian fender kiri.

Pihak polis turut menjumpai empat kelongsong peluru jenis 9mm di jalan berhadapan rumah mangsa.

Muhamad Zaki berkata kes disiasat di bawah seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan seksyen 427 Kanun Keseksaan dan motif kejadian masih dalam siasatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS