Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK KKB | Seorang bekas pemimpin PKR menyangkal kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa masyarakat India cemburu dan marah dengan bantuan kerajaan kepada bumiputera.

Sebaliknya Edmund Santhara Kumar berkata bahawa kemarahan masyarakat India terhadap kerajaan hari ini kerana kegagalan menunaikan janji kepada komuniti itu.

“Memang masyarakat India tak perlu cemburu kerana hak masyarakat bumiputera itu termaktub dalam perlembagaan. Kita faham dan akui keistimewaan masyarakat bumiputera.

“Tapi, yang pentingnya apa yang perlu diberikan kepada masyarakat minoriti yang harus diberikan apa yang dijanjikan dalam manifesto.

“Maka, saya tidak faham dari konteks mana beliau katakan jangan cemburu dan marah,” katanya kepada pemberita di program bertemu pengundi India di Kerling, Hulu Selangor hari ini.

Bekas timbalan menteri pelancongan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar di wawancara sesi “Soal Jawab bersama Perdana Menteri” di media arus perdana baru-baru ini.

Anwar dalam wawancara itu berkata kerajaan akan membantu setiap lapisan masyarakat tanpa mengabaikan mana-mana golongan.

“Kita bantu bumiputera tatapi ini tidak bermakna zero sum game, menolong orang Melayu bermakna kita meminggirkan kumpulan lain.

“Sebab itu saya tekankan kepada masyarakat India jangan marah atau cemburu dengan program bumiputera. Tanya apa yang perlu kita lakukan,” kata Anwar.

Sementara itu, Santhara mencadangkan kerajaan memperkenalkan ‘sin tax’ atau cukai mudarat digunakan kepada pembangunan masyarakat bukan Melayu.

Sin tax ini datang daripada hasil perjudian menjual rokok dan alkohol. Alkohol dan perjudian ini kita faham bukan untuk masyarakat Melayu.

“Cukai yang dikutip pada tahun 2022 adalah RM8 bilion. Kalau 10 peratus RM800 juta diagihkan kepada minoriti dari itu dan peruntukan RM300juta kepada masyarakat India menjelang 2030 isu-isu penting masyarakat ini boleh diselesaikan,” katanya.

Terdahulu, Santhara berkempen bagi calon PN Khairul Azhari Saut berkata pengundi India tidak perlu bimbang menyokong PN pada PRK 11 Mei ini.

“Saya minta pengundi India tidak perlu takut atau termakan hasutan kononnya jika PN menang mungkin ada pihak hendak tutup sekolah Venakular.

“Semua itu tidak benar kerana fakta ada depan mata ketika kita berkuasa sebelum ini,” katanya.

Pada PRK ini Khairul dicabar oleh calon PH Pang Sock Tao, Hanizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS