Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kasino Forest City: Polis rakam keterangan wartawan
Diterbitkan:  May 6, 2024 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Polis selesai merakam keterangan seorang petugas media sebuah portal berbahasa Inggeris bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel berkaitan dakwaan pembangunan kasino di Forest City, Johor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata keterangan diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selepas lelaki itu hadir pada 8.30 pagi tadi.

"Kita juga akan memanggil beberapa lagi individu bagi membantu siasatan," katanya kepada media di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Pada Jumaat lepas, Razarudin mengesahkan siasatan dijalankan selepas peguam ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan membuat laporan berhubung penerbitan artikel menerusi sebuah portal berita antarabangsa berkaitan penubuhan kasino di Forest City, yang didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.

Portal itu yang memetik sumber antara lain turut mengaitkan nama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya Corporation Bhd (Berjaya Corp) dan Genting Malaysia, namun semua pihak terlibat telah menafikan laporan dikeluarkan portal itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS