Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa tak beri kontrak perolehan pada 'syarikat terlibat genosid Gaza'
Diterbitkan:  May 7, 2024 9:29 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Kerajaan digesa untuk mengecualikan mana-mana syarikat yang diketahui "syarikat yang diketahui terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai yang sedang berlaku di Gaza" daripada mana-mana kontrak perolehan negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan pendesak Boikot, Pengalihan dan Sanksi untuk Palestin bahagian Malaysia (BDS Malaysia) berkata ini termasuk syarikat pertahanan Lockheed Martin, gergasi teknologi Google dan syarikat minyak dan gas Caltex atau Chevron.

“Umum mengetahui bahawa Israel boleh bertindak tanpa hukuman kerana perlindungan diplomatik dan politik oleh AS dan kerajaan Barat yang lain.

"Walau bagaimanapun, adalah juga fakta bahawa antara pembolehnya ialah syarikat-syarikat yang mendapat keuntungan daripada keganasan berterusan terhadap rakyat Palestin. Ini bukan sahaja tidak boleh diterima tetapi tercela dari segi moral," katanya.

Justeru, tambahnya, mengecualikan syarikat sedemikian daripada mengambil bahagian dalam perolehan kerajaan akan memberi mesej jelas bahawa negara Malaysia menentang rejim Zionis.

Ini termasuk membeli produk atau perkhidmatan daripada syarikat berkenaan, "untuk menyelaraskan dasar dan amalan perdagangan negara dengan dasar luar negara yang langsung dan jelas tidak mengiktiraf negara Zionis Israel."

Syarikat lain yang disenaraikan oleh BDS Malaysia juga termasuk:

  • BAE Systems

  • Hewlett-Packard

  • Caterpillar

  • Siemens

  • Caltex/Chevron

  • JC Bamford

  • HD Hyundai

  • Intel

  • Google

  • HIK Vision

  • ⁠TKH

Kenapa syarikat berkenaan tersenarai?

Syarikat-syarikat dalam senarai itu telah dipilih atas pelbagai sebab, termasuk membekalkan peralatan yang digunakan secara langsung dalam keganasan terhadap rakyat Palestin atau untuk pelaburan di negara itu.

Lockheed Martin mengeluarkan armada jet pejuang yang digunakan oleh Pasukan Pertahanan Israel dalam serangannya ke atas Gaza.

BAE Systems membekalkan avionik untuk jet itu, dan telah dilaporkan mencatatkan keuntungan tertinggi di tengah-tengah konflik di Gaza.

Google telah menjadi tumpuan selepas ia memecat pekerja yang membantah kontrak pengkomputeran awan yang dimilikinya dengan kerajaan Israel.

Para pekerja berkata sistem yang sedang dibina Google digunakan dalam keganasan di Gaza, tetapi Google menafikannya.

Sementara itu, pemilik Caltex, Chevron, mengendalikan medan gas asli Israel, menjana sebahagian besar keperluan elektrik Israel, lapor Reuters.

Syarikat jentera berat Caterpillar, syarikat British JC Bramford dan Hyundai Heavy Industries pula dituduh mengeluarkan peralatan pembuatan yang digunakan oleh tentera Israel untuk merobohkan rumah Palestin.

Ini termasuk kes profil tinggi 2003 aktivis Amerika Rachel Corrie yang terbunuh apabila seorang askar Israel melanggarnya dengan jentolak berperisai yang dibuat oleh Caterpillar untuk Pasukan Pertahanan Israel.

Caterpillar didakwa oleh Amnesty International kerana pencabulan hak asasi manusia di Wilayah Pendudukan di Palestin, terutamanya apabila seorang askar Israel menyerbu dan membunuh aktivis Amerika Rachel Corrie dengan jentolak berperisai Caterpillar yang dibuat khas untuk Pasukan Pertahanan Israel, di Gaza pada tahun 2003.

Ibu bapa Corrie dan keluarga Palestin yang kehilangan ahli keluarga dan rumah mereka akibat tindakan askar menggunakan jentolak Caterpillar mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat itu, tetapi kes itu ditolak di mahkamah AS dan Israel.

Caterpillar dan JC Bramford telah menafikan ia menyumbang kepada pencabulan hak asasi manusia di Palestin tetapi Hyundai Heavy Industries tidak mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu.

Pada Januari, BDS Malaysia juga menggesa Permodalan Nasional Bhd melepaskan pelaburannya dalam Caterpilar atas sebab yang sama. PNB masih belum mengeluarkan kenyataan.

Siemens disasarkan oleh pergerakan BDS untuk membina infrastruktur bernilai berbilion dolar AS di Israel, termasuk sistem kereta apinya, manakala syarikat itu berkata ia telah aktif di Israel selama kira-kira 60 tahun, dan ia "berakar umbi di sana."

Pergerakan BDS menyasarkan Intel pembuat cip mikro AS itu untuk membuat pelaburan AS$ 25 bilion ke dalam kilangnya di Israel walaupun keganasan berterusan di Gaza.

"Sokongan daripada kerajaan Israel akan membolehkan kami terus membina kecemerlangan itu untuk memastikan Israel kekal sebagai pusat teknologi dan bakat semikonduktor global," kata pengurus besar bersama Intel Israel Daniel Benatar dalam satu kenyataan Disember lalu.

Hikvision dan TKH Security China membekalkan teknologi pengawasan pengecaman muka, yang digunakan Israel untuk mengawasi rakyat Palestin, dalam apa yang disebut oleh Amnesty International sebagai "apartheid automatik", seperti dilapor New York Times.

Kedua-dua syarikat itu tidak menjawab permintaan media AS untuk mendapatkan komen, tetapi Hikvision dalam laporan ESGnya berkata ia melakukan usaha wajar untuk memastikan tindakannya tidak melanggar hak asasi manusia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS