Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Diplomasi Malaysia - Beli sawit, dapat orang utan
Diterbitkan:  May 8, 2024 12:17 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Malaysia berhasrat untuk memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’ kepada negara dagang sawit, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata langkah itu sebagai strategi diplomasi dan Malaysia akan menjadikannya sebagai hadiah kepada rakan dagang selain mengukuhkan hubungan luar terutamanya dengan negara pengimport utama seperti Kesatuan Eropah, India dan China.

“Dengan memperkenalkan ‘diplomasi orang utan’, ia secara langsung membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sentiasa komited terhadap pemuliharaan biodiversiti,” katanya dalam hantaran di laman X selepas merasmikan Forum Biodiversiti Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia semalam.

Beliau berkata banyak rakan dagangan dunia semakin bimbang tentang kesan komoditi pertanian terhadap iklim.

Katanya Malaysia boleh membuktikan kepada masyarakat global bahawa negara sentiasa menjaga keseimbangan antara memenuhi keperluan keselamatan makanan dan menjaga alam sekitar.

Justeru, katanya Malaysia berhasrat untuk mewujudkan 'diplomasi orang utan' seperti China yang telah berjaya mewujudkan pelbagai 'diplomasi panda' kepada banyak negara.

Johari berkata Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan defensif terhadap soal minyak sawit, sebaliknya perlu menunjukkan kepada negara-negara di dunia bahawa Malaysia merupakan pengeluar sawit yang mampan serta komited menjaga hutan dan kelestarian alam.

“Oleh itu, saya mengalu-alukan syarikat besar sawit untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan bagi menjaga, memelihara dan memberi kesedaran kepada rakan global kita di samping menyediakan kepakaran teknikal mengenai spesies hidupan liar yang ikonik di Malaysia.

“Ini akan menjadi manifestasi bagaimana Malaysia memelihara spesies hidupan liar dan mengekalkan kemampanan hutan kita terutamanya dalam landskap perladangan kelapa sawit,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS