Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim: Keadaan sudah berbeza, namun DAP masih di landasan betul

Ada pihak yang merasakan DAP banyak berkompromi sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan namun Lim Kit Siang yakin parti itu masih di landasan yang betul.

Bercakap dengan Malaysiakini di bilik Gerakan MIC di Kuala Kubu Bharu hari ini, bekas setiausaha agung DAP itu berkata parti itu kini bergerak dalam keadaan yang berbeza.

"Saya rasa DAP telah melalui transisi daripada pembangkang kepada kerajaan, dan berdepan keadaan yang berbeza.

"Saya terus menyokong kepimpinan semasa. Saya tak lihat kepimpinan ini telah menyimpang daripada prinsip DAP tetapi bekerja dalam keadaan yang berbeza," katanya.

Lim, 83, bagaimanapun enggan mengulas pandangan penganalisis politik Wong Chin Huat bahawa satu pilihan untuk DAP adalah menyuarakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tanpa berada dalam kerajaan.

Menurut Wong, ahli parlimen DAP boleh menjadi penyokong kerajaan di Parlimen.

Wong Chin Huat

Lim berkata dia enggan mengulas berkenaan pelbagai "teori dan kemungkinan", dengan membangkitkan dia telah bersara.

"Generasi sekarang perlu mendepani cabaran-cabaran ini," katanya.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini yang disiarkan dua hari lalu, Wong berkata penyokong tradisi DAP melihat parti itu berkompromi dalam dua perkara - pengurangan ketidaksamaan antara etnik dari segi undang-undang dan dasar serta usaha ke arah pembaharuan dan keadilan berkaitan rasuah.

Sementara itu, Lim turut menyuarakan penghargaan kepada mendiang S Samy Vellu - yang suatu ketika dulu menjadi seteru politiknya.

Dia berkata walaupun mereka tidak bersetuju alam politik, dia mengagumi Samy, yang memimpin MIC selama kira-kira tiga dekad, atas kelantangannya.

"Ada isu yang dia berani perkatakan, di saat yang lain takut," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS