Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dakwaan Charles tak tepat, MB jumpa pemimpin India KKB'

Pembantu kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menuduh bekas ahli parlimen DAP Charles Santiago memberi gambaran tidak tepat mengenai ketuanya tidak bertemu dengan pengundi India di Kuala Kubu Bharu untuk menangani rungutan mereka.

Jay Jay Denis memberitahu Malaysiakini menteri besar bersama Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bertemu dengan 120 pemimpin India dari Hulu Selangor yang mewakili pelbagai NGO, persatuan penduduk dan kumpulan pendidikan lewat petang ini.

Setiausaha akhbar menteri besar itu berkata Saifuddin telah mengulangi komitmen kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan isu permohonan kewarganegaraan, khususnya dalam kalangan masyarakat India.

Sementara itu, katanya, Amiruddin telah menyuarakan keazaman pentadbirannya untuk terus membantu masyarakat Indian dalam bidang pendidikan, ekonomi, pekerjaan dan tempat ibadat.

"Ini membuktikan bahawa dakwaan oleh mantan ahli parlimen Klang, Charles Santiago, bahawa MB Selangor tidak ingin bertemu dengan pengundi India merupakan satu penipuan dan tidak menggambarkan realiti sebenar.

"Malah sebelum dakwaan ini timbul, Datuk Seri Amirudin Shari telah menjemput ketua-ketua bekas pekerja ladang dari 5 ladang di Kuala Selangor dan Hulu Selangor untuk memahami solusi yang mereka inginkan dari segi jenis rumah kediaman.

"Susulan kepada itu, hari Isnin yang lalu, Kerajaan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Persekutuan telah memberikan komitmen penyelesaian untuk pembinaan rumah bagi bekas pekerja ladang dari Ladang Mary, Ladang Niger Gardner, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak,” katanya.

Jay Jaya berkata mesyuarat tertutup petang ini diatur bagi mendapatkan maklum balas berhubung kepincangan dari segi perkhidmatan di peringkat negeri dan persekutuan serta membincangkan cara mengatasi isu tersebut.

Pembantu Amirudin menjawab laporan Malaysiakini sebelum ini yang memetik Charles berkata menteri besar masih tidak menjawab permintaan untuk bertemu pengundi India yang tidak berpuas hati.

"Saya masih dibanjiri permintaan untuk pertemuan seperti itu daripada mereka di lapangan," tambahnya.

Dalam kenyataannya sebelum ini pada 3 Mei, Charles berkata orang India dan kerajaan negeri "terputus hubungan."

"Saya harap beliau (Amirudin) mengambil permintaan ini (untuk bermesyuarat), terutamanya apabila masyarakat kecewa dan melihat kepada alternatif," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS