Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan peguam disyaki terima rasuah RM1.6 juta
Diterbitkan:  May 8, 2024 11:51 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang peguam yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1.6 juta daripada seorang usahawan, tengah hari tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 30-an itu ditahan di sebuah restoran makanan segera sekitar Ipoh, Perak pada kira-kira 12 tengah hari selepas menerima wang tunai RM100,000 termasuk dua keping cek bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Sumber memaklumkan suspek, yang juga pemilik firma guaman, telah menghubungi mangsa kononnya dapat membantu menutup kes jenayah usahawan terbabit.

"Berdasarkan siasatan, wang rasuah itu akan dibahagikan kepada beberapa individu penting di beberapa agensi kerajaan sebagai balasan membantu menutup siasatan kes jenayah yang dihadapi oleh usahawan berkenaan,” katanya.

Pengarah SPRM Perak Ahmad Sabri Mohamed, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan berkata permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Sesyen Ipoh esok pagi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS