Wang bayaran premium bulanan tanah ladang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sebanyak RM250 ditangguhkan mulai Januari akibat penurunan harga minyak sawit.

"Sebab (harga) minyak kelapa sawit menurun, kita membuat keputusan bahawa kutipan bayaran tanah peneroka ditangguhkan serta-merta sehingga harga kelapa sawit meningkat (semula)," kata Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam selepas mengadakan satu pertemuan dengan Pemuda Umno di kementerian itu tengahari tadi.

Menurut perangkaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia, harga minyak sawit mentah tempatan menurun kepada RM975.50 bagi setiap tan metrik sehingga September tahun lalu, berbanding purata harga RM1,449.50 setiap tan (1999) dan RM2,377.50 setiap tan (1998).

Premium maksimum RM250 sebulan itu, mengikut saiz tanah, dibayar kepada kerajaan sebagai kos membangunkan kawasan ladang seperti perjanjian antara peneroka dan agensi kerajaan itu.

Perjanjian selama 15 tahun itu perlu dijelaskan oleh peneroka bagi mendapatkan hak milik tanah. Setiap peneroka Felda mendapat purata keluasan tanah 10 hektar.

Kasitah berkata, masih ada pihak yang tidak memahami peranan Felda yang telah berjaya mencapai keuntungan terkumpul sebanyak RM4.5 bilion sehingga akhir tahun 1999.

"Keuntungan Felda itu sebenarnya adalah wang kepunyaan peneroka," katanya.

"Kerajaan juga mencari jalan untuk membantu peneroka membuat usaha sampingan bagi meningkatkan pendapatan mereka."

Apabila ditanya langkah-langkah lain untuk meningkatkan pendapatan peneroka, menteri itu menjelaskan peneroka turut terlibat dalam penternakan 130,000 ekor lembu dan 20,000 ekor biri-biri di seluruh negara.

Pengerusi Biro Belia Pemuda Umno Ismail Sabri Yaakob dan lima exco pergerakan itu pagi tadi mengakan pertemuan dengan Kasitah selama dua jam.

Pemuda menggesa kementerian itu mengkaji dasar Felda yang didakwa telah "lari daripada tujuan asal."

"Sejak 1980, Felda tidak (lagi) menerima peneroka dan menggantikan (tanah rancangan itu) kepada sistem perladangan," kata Ismail, sambil menjelaskan golongan peneroka telah ditukar kepada status pekerja.

Kasitah menyambut baik cadangan pergerakan pemuda dalam perjumpaan itu dan memaklumkan sebuah jawatankuasa peringkat kabinet akan dibentuk bagi meneliti masalah-masalah peneroka.

"Kita mempunyai banyak masalah di Felda," akur menteri itu.