Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Daim mohon kes gagal isytihar harta didengar di hadapan hakim lain
Diterbitkan:  May 9, 2024 3:21 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin memohon supaya kes gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah yang dihadapinya didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen lain di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Azura Alwi hari ini.

Menurut Law, pihaknya memerlukan masa untuk membalas afidavit bagi permohonan tersebut.

“Memandangkan ada permohonan daripada pembelaan untuk memindahkan prosiding kes ini ke Mahkamah Sesyen lain, saya mohon permohonan ini didengar terlebih dahulu. Saya percaya tiada bantahan daripada pihak pembelaan,” katanya.

Peguam M Puravelan, yang mewakili Daim mengesahkan perkara itu.

Sementara itu, pada prosiding sama, Law memohon supaya  permohonan Daim dan isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi didengar bersama.

Bagaimanapun, Azura memutuskan supaya permohonan Daim untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen lain didengar terlebih dahulu pada 4 Julai dan menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes pasangan itu.

Daim memfailkan permohonan untuk memindahkan kes pada 7 Mei lalu atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes Na'imah juga didengar di hadapan hakim sama (Azura).

Pada 29 Jan lepas Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Na'imah, 66, pula didakwa pada 23 Jan atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS