Paling Popular
Terkini

PRK KKB | Pengundi Muda di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu digesa menyemak semula fakta-fakta yang diperoleh daripada media sosial terutamanya TikTok.

Berkempen di PRK Kuala Kubu Bharu, isteri perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui dia sedikit bimbang dengan trend pengundi muda.

"Kita datang untuk meraih undi pada 11 Mei ini untuk memenangkan calon PH Pang Sock Tao. Saya minta semua bagi sokongan kepada anak muda ini.

"Alhamdulillah ada sokongan pengundi muda. Namun, kita takut ada juga anak-anak muda, kadang-kadang dia ikuti TikTok dan tertarik dengan kandungan-kandungan tidak benar.

"Kita katakan boleh ikut TikTok tapi semak fakta dulu," katanya kepada pemberita selepas membuat walkbout bersama calonnya, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Pang Sock Tao

Terdahulu, ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu diminta mengulas sokongan pengundi muda kepada kerajaan.

Wan Azizah atau lebih mesra dipanggil sebagai Kak Wan berkata semua pihak perlu menerima realiti bahawa negara ini negara majmuk.

"Kalau ada yang katakan 'Melayu, Melayu, Melayu' (asyik mainkan isu Melayu) kita tidak boleh terima begitu.

"Untuk negara kita membangun sama kita kena terima realitinya kita dalam negara Malaysia ini majmuk," katanya.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan pada 11 Mei ini, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58 dari DAP akibat barah.

Selain Pang yang mewakili PH dan Khairul yang bertanding atas logo PN, pilihan raya Sabtu ini menyaksikan Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas) yang juga cuba merampas kerusi berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS