Kebanyakan isi rumah, atau kira-kira 40 peratus, mahu kerajaan melaksanakan dasar untuk meningkatkan kadar gaji bagi membantu mereka mendepani isu kos sara hidup, berbanding pemberian bantuan tunai (32 peratus).

Dapatan itu adalah hasil tinjauan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) yang dinyatakan dalam laporannya, "Living On The Edge" semalam.

"Kebanyakan isi rumah menyokong intervensi dasar yang menangani punca beban kewangan, iaitu gaji yang tidak memadai dan kuasa beli yang terhakis.

"Bantuan kesihatan dan pendidikan mungkin tidak begitu menjadi keutamaan isi rumah memandangkan liputan kesihatan (di Malaysia) adalah universal dan sekolah kerajaan sudah ada," kata laporan itu.

Responden dibahagikan kepada tiga kategori - isi rumah keseluruhan, isi rumah yang diketuai perempuan dan isi rumah yang diketuai orang kurang upaya (OKU).

Sebanyak 39 peratus responden isi rumah diketuai wanita turut menyokong cadangan peningkatan gaji di bawah seksyen "dasar paling diperlukan" dalam laporan itu.

"Bagaimanapun, 50 peratus responden isi rumah diketuai OKU lebih memilih pendekatan bantuan tunai berbanding gaji yang lebih tinggi (25 peratus).

"Selain itu, 33 peratus responden dalam kategori itu turut memilih bantuan modal untuk perniagaan kecil mereka," kata laporan itu lagi.

Dalam kategori "dasar semasa yang paling baik", responden daripada ketiga-tiga kategori menyokong pendekatan kawalan harga (51 peratus). Sebanyak 58 peratus responden isi rumah diketuai OKU dan 54 peratus responden isi rumah diketuai perempuan menyokongnya.

Dasar kedua yang dirasakan paling baik adalah kawalan harga dan subsidi, dengan 26 peratus responden yang menyokong.

"Apa yang menariknya, hanya tujuh peratus responden menyokong subsidi petrol dan diesel," kata laporan itu lagi.

Tinjauan ini dibuat bermula 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023, melibatkan 755 isi rumah berpendapatan rendah yang tinggal di 16 perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.

Turut terlibat adalah 254 lagi isi rumah, terutama isi rumah yang diketuai perempuan.