Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak logik mengaku masih ahli Bersatu lepas berucap di pentas lawan'

PRK KKB | Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menepis kenyataan Adun Selat Kelang Abdul Rashid Asari bahawa dirinya masih ahli parti itu selepas muncul di pentas Pakatan Harapan (PH) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

"Nyata perbuatannya duduk di pentas, berucap untuk menentang calon parti sendiri. Sokong kita lagi? Fikir… logik tak?

"Bila masa dia buat begitu kalau ikut perlembagaan terhenti serta-merta keahlian.

"Kita sudah nampak. Takkan kalau anda jadi ketua parti, nak cakap ‘tak apa dia OK’. Tak boleh. Kita ada peraturan," katanya kepada pemberita di majlis Ramah Mesra bersama Perikatan Nasional (PN) di Batang Kali, semalam.

Terdahulu, pengerusi PN itu diminta mengulas kenyataan Rashid yang bertegas masih ahli parti Bersatu.

Pada 6 Mac, Rashid yang merupakan mantan pengerusi Bersatu Selangor bertindak menyokong Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Terbaru, dia dikatakan berkempen bagi calon PH Pang Sock Tao di KKB.

Susulan itu, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata bahawa keahlian Rashid dalam Bersatu terlucut berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun, Rashid berkata bahawa dirinya masih ahli Bersatu.

Ini kerana menurutnya perlembagaan parti tidak menyebut keahlian tergugur automatik jika menyertai kempen PH.

Namun, Muhyiddin menambah bahawa bahawa parti tidak akan melayan kenyataan Rashid.

"Itu dia kata (masih ahli parti). Dia boleh kata apa sahaja. Kita ada pakar dan perlembagaan kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata bahawa gabungan PN masih sedia menerima kehadiran MCA dan MIC daripada BN.

"Saya telah mengikuti apa yang dikatakan oleh (Presiden MCA) Wee Ka Siong. Dia telah meneliti situasi yang sedang berlaku dalam BN pastinya apa yang telah berlaku tidak menguntungkan MCA malahan mereka telah diketepikan dan dinafikan peluang bertanding.

"Macam-macam yang dibuat oleh Umno telah mengakibatkan MCA dan MIC secara terang disisihkan. Jadi, saya fikir wajar dan saya setuju sepatutnya dia perlu tunjuk bahawa dia ada maruah.

"Kalau ada maruah kenapa masih berpandu pada BN. Dia boleh keluar sama ada menyatakan bertanding solo nak melihat rakyat bagaimana dia sokong terhadap parti itu ataupun dia boleh nak bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti Gerakan dan PN pasal kita terbuka," katanya.

MCA sebelum ini menyatakan tidak akan terlibat dalam PRK ini setelah tidak selesa dengan kenyataan-kenyataan pemimpin DAP terhadap parti itu.

PRK Kuala Kubu Bharu akan diadakan pada 11 Mei ini, susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58 dari DAP.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS