Reuters, kedutaan AS nafi laporan Malaysia taja keganasan
Agensi berita antarabangsa Reuters dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur menafikan laporan yang mendakwa empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia dikenakan sekatan terbaru berhubung dakwaan memberi sokongan untuk membiayai aktiviti keganasan.
Laporan yang tersebar di media sosial malam tadi berikutan perbincangan rasmi antara pegawai Jabatan Negara AS dan beberapa menteri Malaysia, seolah-olah diterbitkan oleh Reuters.
“Mana-mana dakwaan yang mengatakan Reuters melaporkan Malaysia ialah negara pertama di Asia Tenggara yang akan disenaraikan oleh Amerika Syarikat sebagai penaja negara keganasan adalah palsu.
“Reuters tidak melaporkan perkara ini,” kata agensi berita itu di laman X.
Sementara itu, Kedutaan AS di Kuala Lumpur turut mengesahkan bahawa laporan tersebut palsu.
“Amerika Syarikat tidak mengenakan sebarang sekatan baru ke atas syarikat Malaysia mahupun menyenaraikan Malaysia sebagai penaja negara keganasan.
“Penipuan yang tersebar di WhatsApp dan media sosial lain adalah berita palsu,” kata kedutaan itu di laman X.
Mengulas perkara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata penafian itu sekali gus mengesahkan tiada sekatan seumpama itu sekali gus menafikan Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara disenaraikan oleh AS sebagai negara penaja keganasan.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!
/file/1206/fd0b90e177c235e28422e72b2fb11c24.jpeg)
