Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siasatan protes di Mitec cuma bazirkan masa polis, kata Tian Chua

Bekas ahli parlimen dan aktivis, Tian Chua, kecewa apabila disiasat polis berhubung pembabitannya dalam himpunan aman pro-Palestin di Kuala Lumpur pada minggu lalu.

Dia yang juga jurucakakap Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) menjelaskan, siasatan terhadapnya tidak memberi sebaran manfaat, bahkan memburukkan persepsi orang ramai terhadap kerajaan.

Katanya dengan siasatan tersebut, kerajaan akan dilihat menyekat usaha masyarakat menyatakan pandangan bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Kehadiran aktivis solidariti Palestin ke Mitec (Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia) pada minggu lalu adalah untuk membantah kehadiran beberapa syarikat berkaitan (Israel) khususnya BAE System dan Lockheed Martin.

“Kami merakamkan kekecewaan bahawa polis diarahkan membuat siasatan.

"Ia merupakan satu pembaziran masa dan usaha pihak polis yang sepatutnya boleh digunakan untuk membantu masyarakat mencegah jenayah,” katanya tengah hari tadi.

Terdahulu dia memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul. Turut dipanggil ialah

Sekumpulan orang berkumpul di depan Mitec pada 7 Mei lalu sebagai menyatakan bantahan mereka terhadap Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2024 di situ.

Himpunan anjuran SSP tersebut diadakan bagi menyatakan bantahan penyertaan syarikat pembekal senjata kepada Israel dalam pameran Natsec.

Lockheed Martin merupakan syarikat gergasi dari AS, manakala BAE System dari United Kingdom.

Kata Tian, dia dimaklumkan polis yang siasatan dibuat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dan keterangannya dirakam sebagai saksi.

Bekas naib presiden PKR itu menjelaskan kerajaan wajar bertegas dalam sikap mereka menyokong perjuangan rakyat Palestin, dan tidak tunduk kepada "ugutan kuasa-kuasa besar".

Dia juga mendakwa terdapat gerakan diplomatik dari negara luar yang cuba melemahkan pendirian Malaysia dalam sokongannya terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Ada satu delegasi dari AS yang datang untuk menyemak sama ada Malaysia mempunyai kaitan dalam membantu secara kewangan atau perdagangan kepada Hamas.

“Bagi saya tindakan angkuh oleh pihak AS menunjukkan mereka tidak menghormati kedaulatan negara dan kerajaan perlu mengambil tindakan berani untuk menolak usaha campur tangan kuasa besar yang cuba menekan kita,” jelasnya.

Justeru Tian mendesak kerajaan mengambil langkah komprehensif untuk memastikan tiada sebarang aktiviti rasmi yang bersangkut-paut dengan Israel dan AS dijalankan.

Pada masa sama, bekas ahli parlimen Batu itu berharap tiada tindakan lanjut untuk mendakwa aktivis pro-Palestin diambil berhubung perhimpunan aman tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS