NOTA EDITOR: Laporan ini dikemas kini dengan memasukkan respons Wee Ka Siong.

Perang mulut tercetus di antara Wee Ka Siong dan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok selepas Presiden MCA menggesa kerajaan menyelesaikan tuntutan mahkamah seorang mangsa kemalangan pelanggaran LRT tiga tahun lalu.

Memberikan respon kepada pandangan Wee semalam, Kok hari ini mengingatkan bahawa insiden tersebut berlaku ketika pemimpin MCA terbabit menjadi menteri pengangkutan.

Justeru, kata Kok, Wee sepatutnya boleh menyelesaikan perkara tersebut dalam tempoh berkenaan, dan bukannya mendesak kerajaan sekarang menyelesaikan saman dikemukakan Florence Lee.

Sebagai tindak balas, Wee berkata, Kok kelihatan tidak tahu mengenai fakta kemalangan berkenaan.

Wee yang juga ahli parlimen Ayer Hitam menegaskan Lee memfailkan samannya selepas dia tidak lagi menjadi menteri pengangkutan.

Selain itu, kata Wee, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) - yang menjadi salah satu pihak yang disaman Lee - bukan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan.

Apabila berlaku perlanggaran LRT pada 24 Mei 2021, katanya, dia bergegas ke lokasi kejadian untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa.

"Selepas insiden tersebut, (iaitu) kira-kira 18 bulan saya menjadi menteri pengangkutan sehingga 19 Nov 2022, Florence (Lee) belum selesai membuat penilaian kerugian beliau.

"Sepanjang tempoh saya menjadi menteri pengangkutan, Florence belum memfailkan samannya di mahkamah dan ia hanya difailkan pada Dis 2023 semasa pemerintahan kerajaan Madani.

"Pada Dis 2023, saya bukan lagi menteri. Sehingga waktu ini, genap 18 bulan kerajaan Madani mentadbir negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sedia rundingkan penyelesaian

Wee juga menjelaskan dalam pandangan yang dikemukannya semalam dia tidak pun menyentuh menteri pengangkutan sekarang - yang kebetulan merupakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

"Jadi, kamu beria-ia sangat nak mempertahankan bos parti kamu, pasal apa?" katanya.

Tambah Wee, dia sudah menyatakan bahawa Prasarana dan Rapid Rail Sdn Bhd - satu lagi pihak yang disaman Lee - merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MOF).

Kerana itu, kata Wee, dari segi kewangan memang MOF berkuasa sepenuhnya ke atas kedua-dua syarikat berkenaan.

"Faham tak? Fungsi MOT hanyalah sebagai pengawal selia (regulator) untuk pengoperasian tren saja," katanya.

Menurut Wee, apa yang cuba dilakukannya ialah mahu membantu mangsa kemalangan berkenaan yang perlu menunggu sehingga empat tahun sebelum perbicaraan atas saman tersebut dimulakan.

Dalam keadaan begitu, kata Wee, dia mencadangkan saman berkenaan diselesaikan di mahkamah, namun sebaliknya "dihentam" oleh pemimpin DAP.

"Lagipun, tuntutan mangsa ini (Lee) bagi saya munasabah. Teresa Kok, adakah ini masih belum perikemanusiaan bagi kamu?" katanyalagi,

Semalam cadangan Wee agar saman Lee diselesaikan secara baik kerana wanita terbabit perlu menunggu lama sebelum samannya dapat didengar di mahkamah.

Saranan itu kemudian mendapat reaksi daripada Kok yang mengingatkan Wee bahawa sebelum ini dia merupakan menteri pengangkutan.

"Adakah Wee lupa bahawa dia adalah menteri pengangkutan ketika kemalangan itu? Adakah Wee mengatakan bahawa dia tidak berperikemanusiaan?

"Mengapa Wee tidak menggunakan jawatan menterinya, yang mungkin paling berkesan, untuk melakukan perkara yang 'paling berperikemanusiaan' sedangkan dia mempunyai kuasa dan peluang penuh ketika itu?" kata ahli parlimen Seputeh itu.

Dalam kemalangan yang berlaku pada 24 Mei 2021 itu, sebuah tren laluan Gombak bertembung dengan sebuah lagi tren laluan Kelana Jaya kira-kira jam 8.45 malam.

Ia menyebabkan 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya parah.

Dalam respons kepada Wee semalam, Prasarana berkata mereka sedia merundingkan penyelesaian adil buat mangsa kemalangan terbabit dan langkah membantu mereka dilakukan seawal sesudah insiden tersebut berlaku.

"Daripada (semua) penumpang yang terjejas, 90 individu menerima bantuan kewangan dan beberapa tuntutan telah diselesaikan secara baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!