Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Armada kemuka 3 cadangan atasi isu parallel pathway UiTM
Diterbitkan:  May 16, 2024 8:40 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

Pemuda (Armada) Bersatu mengemukakan tiga cadangan sebagai jalan keluar kepada kemelut isu pembukaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar bukan bumiputera bagi program parallel pathway.

Penolong setiausahanya, Muhammad Faiz Rahmad, berkata antaranya melakukan penyumberan bakat (talent sourcing) oleh UiTM dan Institut Jantung Negara (IJN) dalam kalangan bumiputera termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Selain itu, katanya, Universiti Malaya (UM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) harus menyegerakan proses pendaftaran, pembukaan dan kemasukan program bidang pembedahan kardiotoraks.

"Hal itu kerana cadangan pembukaan kuota sementara (untuk pelajar bukan bumiputera) adalah disebabkan UM belum lagi membuka program bidang tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Armada Bersatu juga mencadangkan agar pelajar pascasiswazah bukan bumiputera yang disenarai pendek untuk mengikuti program parallel pathway didaftarkan di mana-mana institut pengajian tinggi lain dan proses pembelajaran dilangsungkan usahasama geran (grant joint-venture).

Pada 25 April lalu, portal berita kesihatan Codeblue melaporkan ahli Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata UiTM bersetuju membuka pintu kepada pelatih bukan bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di situ.


Baca PANDUANKINI | Mengapa parallel pathway jadi isu?


Raja Amin mendedahkan universiti itu bersetuju membuka program berkenaan secara sementara kepada tujuh graduan bukan bumiputera.

Isu ini timbul apabila pelajar yang terlibat dalam Persekutuan Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh dalam Pembedahan Kardiotoraks (FRCS Ed) ditolak permohonan mereka dalam Pendaftaran Pakar Kebangsaan (NSR) oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berikutan sijil itu tidak diiktiraf.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama IJN dalam bidang kardiotoraks.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pula meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Pun begitu setakat ini UiTM masih bertegas enggan menerima kemasukan pelajar terbabit atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta UiTM 1976.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz berkata Armada Bersatu ingin mengingatkan supaya semua pihak agar lebih berhati-hati dalam mengutarakan cadangan lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan sensitiviti dalam Perlembagaan Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS