Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kg Bohol: Nik Nazmi ikrar lebih banyak penglibatan masyarakat
Diterbitkan:  May 19, 2024 11:19 AM
Dikemaskini: 3:19 AM

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata lebih banyak penglibatan bersama komuniti setempat diperlukan berhubung cadangan pembatalan pewartaan tanah untuk projek perumahan di Kampung Bohol.

Selepas bantahan dilakukan oleh penduduk yang menentang rancangan tersebut baru-baru ini, Nik Nazmi memberitahu New Straits Times, pihaknya mengakui kurangnya penglibatan bersama penduduk tempatan sebelum ini namun menegaskan bahawa usaha ke arah itu sedang dipertingkatkan.

"Komunikasi dengan masyarakat amat penting. Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk melibatkan mereka," katanya seperti dipetik dalam podkas New Straits Times Beyond The Headlines.

Katanya penglibatan penduduk memang semakin meningkat tetapi masih belum mencukupi.

Dalam pertemuan dengan NGO sebelum ini, kata Nik Nazmi, ada ketikanya suasana menjadi tegang, antara lain disebabkan faktir pembatalan pewartaan tanah awam sebelum ini yang membimbangkan rakyat.

"Kita mesti mendengar dan menangani kebimbangan mereka kerana telah lama mereka berasa dipinggirkan. Ketika mereka membangkitkan kebimbangan sebelum ini, ternyata ia benar," katanya.

Menurut laporan itu, Nik Nazmi mengakui kebimbangan orang ramai mengenai kolam takungan banjir yang didakwa dijual untuk pembangunan yang menyebabkan timbulnya kegusaran dikalangan mereka.

Walapun memuji tindakan penduduk Kampung Bohol kerana bersuara, namun Nik Nazmi dilaporkan memberi amaran terhadap sikap nimbyism iaitu tingkah laku seseorang yang tidak mahu sesuatu pembangunan dibina atau dilakukan berhampiran tempat tinggalnya.

"Mereka berhak untuk berwaspada tetapi beberapa projek nasional yang berkepentingan mesti dilaksanakan walaupun mendapat tentangan penduduk setempat," kata Nik Nazmi.

Dia turut memetik mengenai kepentingan menaik taraf grid kuasa untuk meningkatkan tenaga boleh diperbaharui walaupun timbul tanggapan salah mengenai isu kesihatan bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan garisan grid kuasa.

"Walaupun sesetengah pihak menentang projek seperti ini dengan menggunakan hujah alam sekitar tapi kita mesti mempertimbangkan keseluruhan keuntungan kelestarian yang dikecapi," katanya.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan pegawai Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) mengesahkan kolam tampung banjir di Kampung Bohol, Kuala Lumpur tidak akan dijadikan kawasan perumahan.

Timbalan Pengarah Pendaftaran Tanah PTGWP Mohd Firdaus Ibaruslan berkata bertentangan dengan laporan media dan apa yang diyakini sesetengah penduduk, kolam itu hanya dinaik taraf untuk meningkatkan kapasitinya sebanyak 7.5 kali ganda.

Kapasiti semasa 150,000m³ - bersamaan dengan 60 kolam renang bersaiz Olimpik - akan ditingkatkan kepada 1.13 juta m³ atau bersamaan dengan 452 kolam renang bersaiz sama.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS