Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dedahkan laporan penilaian impak kepada umum - SAM
Diterbitkan:  May 22, 2024 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berkaitan supaya laporan-laporan penilaian impak didedahkan kepada umum, selepas mendapatkan maklum balas awam sebelum kelulusan.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata laporan tersebut termasuk laporan penilaian impak sosial (SIA), penilaian impak lalulintas (TIA), dan penilaian impak radiologi (RIA).

"SIA dan TIA diperlukan untuk projek-projek pembangunan yang relevan sebelum diberikan kebenaran merancang di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD), manakala RIA diperlukan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 untuk menangani sisa radioaktif, sebelum pemberian lesen untuk menyimpan sisa tersebut.

"Pada masa ini, tiada satu pun daripada laporan-laporan penilaian impak tersebut didedahkan kepada umum atau memerlukan maklum balas atau ulasan orang awam sebelum kelulusan diberikan oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Meenakshi, walaupun proses SIA melibatkan beberapa rundingan bersama golongan yang berkemungkinan terjejas oleh projek berkenaan, cara kebimbangan mereka diambil kira dan ditangani dalam penilaian impak tidak diketahui atau telus.

“Kami berpandangan bahawa penilaian impak demikian mesti mengikuti prosedur yang sedia ada berkaitan dengan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, di mana penyertaan dan maklum balas awam diperlukan untuk projek besar yang mempunyai impak serius, sebelum sebarang kelulusan EIA diberikan.

"Tambahan, kita tidak berkesempatan untuk mengkaji penilaian impak tersebut kerana tiada keperluan untuk dijadikan laporan-laporan ini umum," katanya.

Tadbir urus baik

Meenakshi berkata tindakan menyediakan laporan penilaian impak tanpa mendedahkannya kepada umum untuk mendapatkan ulasan terlebih dahulu bukanlah tadbir urus serta petanda yang baik untuk ketelusan dalam pembuatan keputusan.

Mereka merujuk kes projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang yang mencetuskan kontroversi di negeri itu.

"Laporan SIA atau TIA tidak didedahkan kepada umum dan dengan itu rakyat yang bimbang tentang projek ini tidak dapat melihat penemuan dan kesimpulan penilaian-penilaian tersebut.

"Bagaimanakah pihak berkuasa boleh mengharapkan orang awam akan yakin terhadap keputusan mereka jika penilaian-penilaian tersebut tidak tertakluk kepada penelitian bebas?" soalnya.

Menurutnya, perkara sama berlaku dalam kontroversi mengenai kolam takungan banjir Kampung Bohol di Wilayah Persekutuan.

"Laporan-laporan SIA dan TIA untuk projek perumahan yang dicadangkan di kawasan tersebut perlu didedahkan kepada umum supaya terdapat penelitian bebas tentang kesan-kesan buruk ke atas komuniti berhampiran.

"Selanjutnya, dalam kes RIA yang melibatkan sisa radioaktif yang mempunyai implikasi serius terhadap kesihatan dan kebajikan manusia, adalah mustahak dan berhemat untuk mendedahkan kepada umum penilaian impaknya untuk memberi jaminan bahawa semua kebimbangan kesihatan dan keselamatan telah dipertimbangkan serta ulasan awam telah didapati dan penelitian bebas telah disediakan,” ujarnya.

Dengan berbuat demikian keyakinan dan kepercayaan orang awam terhadap proses pembuatan keputusan dapat dijamin.

“Jika tidak, kekurangan ketelusan akan menimbulkan keraguan sama ada keputusan dibuat dengan betul atau secara tertutup, untuk memajukan kepentingan korporat-korporat besar dan penyokong kuat mereka,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS