Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jangan ikut cara keras' - Abu Bakar Bashir kecam serangan di balai polis

Pengasas Jemaah Islamiyah (JI) Abu Bakar Bashir menggesa belia Islam agar tidak melakukan keganasan dan pembunuhan atas nama Islam.

Dalam video yang dihantar anaknya, Abdul Rahim Bashir kepada Malaysiakini, Abu Bakar mengecam serangan di balai polis Ulu Tiram di Johor, yang pada mulanya dikaitkan dengan JI.

"Saya mengecam keras perbuatan anak muda membunuh dua orang polis di Malaysia. Membunuh itu bukan ajaran Islam.

"Dalam Islam, apabila keadaan seperti ini, membela Islam cukup dengan dakwah dan doa, bukan dengan membunuh atau mengebom," kata Abu Bakar.

Semalam, Rahim memberitahu Malaysiakini yang bapanya - sejak kembali ke Indonesia pada 1999 - tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan Madrasah Luqmanul Hakim di Ulu Tiram.

Sekolah itu ditubuhkan pada 1993 dan dilaporkan menjadi tempat berkumpul sejumlah pengganas yang paling dikehendaki di rantau ini.

Dalam video hari ini, Abu Bakar menegaskan dia tiada kaitan dengan serangan itu, yang menyaksikan dua polis terbunuh dan seorang lagi cedera. Penyerang yang berusia 21 tahun ditembak mati di tempat kejadian.

"Saya sama sekali tidak terkait dengan peristiwa semacam itu dan saya tidak ada hubungan apa-apa (dengannya).

"Barangsiapa yang menuduh saya, menghubungkan saya dengan perbuatan semacam itu, mereka bohong dan saya ajak (mereka) buktikan di hadapan Allah SWT.

"Jangan semberono. Saya sama sekali tidak tahu dan selepas mendengar peristiwa itu, saya terkejut," kata tokoh agama berusia 85 tahun itu.

Dia juga menyifatkan serangan itu sebagai tindakan yang bertentangan dengan Islam.

"Saya nasihati pemuda-pemuda Islam, jangan ikut cara-cara yang keras, mudah mengkafirkan (orang lain) tanpa ada dalil dan alasan dalam Al-Quran.

"Kekerasan yang berlaku di Malaysia sama sekali bertentangan dengan Islam," katanya lagi.

JI diharamkan di Indonesia, Malaysia dan Singapura, dengan sejumlah pemimpinnya termasuk dalam senarai pemantauan Majlis Keselamatan PBB atas kemungkinan perkaitan dengan Al-Qaeda dan dakwaan penglibatan dalam banyak serangan bom berprofil tinggi sejak awal 2000-an.

Dalam wawancara bersama ahli antropologi Perancis-Amerika Scott Atran, Abu Bakar antara lain mempertahankan seruan jihadnya terhadap "kafir harbi" yang dilihat sebagai musuh Islam.

Lokasi anggota polis diserang

Wawancara itu - yang disiarkan dalam Spotlight on Terror terbitan Jamestown Foundation - diadakan ketika Abu Bakar menjalani hukuman di Penjara Cipinang di Jakarta, atas kesalahan konspirasi berhubung pengeboman di Bali yang meragut 202 nyawa.

Dia dibebaskan pada 2006 dan dua tahun kemudian menubuhkan Jamaah Ansharut Tauhid, pecahan JI dan turut dimasukkan dalam senarai pemantauan PBB.

Pada 2011, Abu Bakar dihukum penjara 15 tahun selepas disabit bersalah mengadakan latihan separa tentera untuk militan di Aceh.

'Abu Bakar sudah berubah'

Pengarah Eksekutif Pusat Kajian Radikalisme dan Deradikalisasi Indonesia Adhe Bhakti berkata kenyataan terbaru Abu Bakar ini tidak mengejutkan ekoran perubahan yang dapat dilihat pada dirinya sejak dibebaskan dari penjara tiga tahun lalu.

"Saya tidak terkejut jika dia berkata seperti itu kerana memang ada perubahan signifikan padanya," kata Adhe kepada Malaysiakini.

Adhe Bhakti

Peranan Adhe antara lain memerhati perbicaraan berkaitan keganasan dan menemu bual anggota dan bekas anggota JI sejak 2014.

"Dia membenarkan jemaahnya untuk menyertai pilihan raya umum (2024), padahal sebelumnya dia cukup keras mengharamkan pilihan raya kerana ia dianggap cara orang kafir.

"Dia bukan hanya membenarkan, bahkan dia mengundi calon pilihannya," katanya lagi.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan Abu Bakar mengisytiharkan sokongannya kepada pasukan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan mengundi buat kali pertama di pusat mengundi di Ngruki, Solo, Jawa Tengah. Dia kini tinggal di sana.

Mengulas lanjut, Adhe berkata gerakan JI sendiri - selepas tidak lagi dipimpin Abu Bakar - telah meninggalkan kegiatan radikal dan kemudian terlibat antaranya dalam politik dan kebajikan.

Persoalan berkenaan kewujudan JI di Malaysia kembali timbul susulan kenyataan awal Ketua Polis Negara Razarudin Husain berhubung serangan di balai polis Ulu Tiram

Razarudin pada mulanya mengaitkan penyerang dengan pertubuhan itu, namun kemudian menjelaskan ia tindakan bersendirian dan dakwaan kaitan dengan JI adalah ekoran bapa penyerang yang merupakan ahlinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS