Perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini, diberitahu bahawa sepasukan anggota polis dari Unit Pemusnah Bom telah membuat pemeriksaan di rumah tertuduh kedua, Koperal Sirul Azhar Umar, pada November tahun lalu setelah beliau memberikan satu maklumat.

ASP Zulkarnain Samsudin, yang menyambung keterangannya pada hari ke-28 perbicaraan kes pembunuhan wanita itu, berkata beliau telah menghubungi

unit itu untuk mendapatkan bantuan mereka setelah menerima maklumat daripada Sirul Azhar semasa tertuduh itu disoal di pejabatnya pada 7 November tahun lalu.

Zulkarnain, 34, dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berkata pada 2 petang, ketika beliau bersama Cif Inspektor Koh Fei Cheow menemubual Sirul Azhar, tertuduh itu berkata dia ingin membuat suatu pendedahan, demikian menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun Zulkarnain tidak menyatakan di mahkamah kandungan maklumat yang telah didedahkan oleh Sirul Azhar itu.

Tun Abdul Majid: "Sebelum dia ingin buat pendedahan, apa tindakan kamu?"

Zulkarnain: "Saya bacakan amaran seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 113 Kanun Prosedur Jenayah."

Tun Abdul Majid: "Adakah dia buat pendedahan? Ada dia beri maklumat?"

Zulkarnain: "Ya, dia beri maklumat selepas saya bacakan kenyataan berhemah."

Tun Abdul Majid: "Lepas beri maklumat apa kamu buat?"

Zulkarnain: "Saya catit, dan buat laporan polis. Saya juga hubungi Unit Pemusnah Bom minta bantuan untuk buat pemeriksaan dalam rumah tertuduh kedua. Saya juga maklumkan pada DSP Gan Tack Guan tentang maklumat itu. Saya difahamkan oleh DSP Gan bahawa kunci rumah tertuduh kedua ada pada

pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman. DSP Gan beritahu saya dia akan uruskan agar kunci rumah tertuduh kedua dibawa ke kawasan kediaman tertuduh kedua."

Ambil barang-barang

Zulkarnain berkata, selepas itu beliau, Koh, Sirul Azhar dan tiga anggota lain serta seorang jurugambar telah pergi ke rumah tertuduh kedua itu di Seksyen 4, Kota Damansara, manakala pasukan dari Unit Pemusnah Bom pula menunggu mereka di tol Kota Damansara pada jam 3.30 petang untuk bergerak ke rumah Sirul Azhar bersama-sama.

Katanya, perjalanan mereka seterusnya menghala ke rumah Sirul Azhar telah dipandu arah oleh tertuduh kedua itu sendiri.

Sirul Azhar, 36, dan Cif Inspektor Azilah Hadri, 31, kedua-duanya dari UTK Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu lokasi di Shah Alam

antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu. Mayat wanita itu dipercayai diletupkan.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 47, dituduh bersubahat dengan mereka dalam melakukan pembunuhan itu.

Zulkarnain, dalam keterangannya semasa sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwaraya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, berkata ketika bahawa

beliau sampai di kawasan letak kereta di depan Blok 5, beliau melihat sekumpulan lelaki dan seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai DSP Yusri dari UTK Bukit Aman.

"DSP Yusri beritahu saya beliau datang ke situ untuk ambil barang-barang milik pasukan (PDRM). Saya jelaskan pada DSP Yusri supaya tunggu sehingga kerja kami untuk buat pemeriksaan di rumah tertuduh kedua," katanya.

Zulkarnain berkata sebelum memasuki rumah tertuduh, iaitu ketika mereka berada di kawasan bawah Blok 5, Koh telah memberikannya beberapa kunci.

Guna kunci

"Bila sampai di sebuah unit di tingkat 3, tertuduh tunjuk rumahnya. Kemudian saya tunjuk kunci pada tertuduh dan tanya tentang kunci itu untuk kegunaan pintu yang mana. Berpandukan penerangan tertuduh, saya telah buka mangga pada gril rumah, buka pintu gril dan tombol pintu rumah menggunakan kunci yang diterima daripada Koh," kata Zulkarnain.

Ketika berada dalam rumah itu, beliau bersama Koh serta pasukannya telah masuk ke dalam bilik Sirul Azhar yang ditunjukkan sendiri oleh tertuduh kedua itu kepada mereka.

"Tertuduh telah buka pintu almari pakaian yang tak berkunci, (dan) setelah pintu dibuka, tertuduh tunjuk satu jaket hitam tergantung, dan keluarkan dari dalam almari. Tertuduh beritahu sesuatu pada saya," kata Zulkarnain.

Saksi itu berkata beliau memeriksa jaket itu dan menemui jamtangan jenama Larmes, sebentuk cincin emas berbatu permata dan sepasang anting-anting dalam poket jaket itu.

Tun Abdul Majid: "Unit Pemusnah Bom yang kamu sebut, bila mereka buat pemeriksaan?"

Zulkarnain: "Selepas 15 minit saya berada dalam rumah itu, saya panggil masuk anggota Unit Pemusnah Bom untuk jalankan pemeriksaan."

Tun Abdul Majid: "Bagaimana dengan anggota UTK yang lain?"

Bahan bukti

Zulkarnain: "Lepas lebih kurang 20 minit Unit Pemusnah Bom buat pemeriksaan di rumah itu, pegawai dan anggota UTK masuk dalam bilik tertuduh kedua."

Selepas kerja pemeriksaan selesai dilakukan oleh ketiga-tiga pasukan itu, Zulkarnain berkata mereka pulang ke Bukit Aman dengan membawa bersama jaket dan barang-barang yang ditemui itu, manakala kunci rumah Sirul Azhar pula diserahkan kepada seorang anggota untuk membuat `tagging' alamat rumah tertuduh pada rantai kunci itu.

Kesemua barang itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat, ASP Tonny Lunggan, pada jam 11.30 malam hari yang sama, katanya.

Dalam prosiding itu, Zulkarnain turut mengecam jaket hitam, yang telah diterima oleh mahkamah sebagai bahan bukti selain jamtangan, cincin dan subang yang dirampas dari rumah Sirul Azhar.

Peguambela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin membantah kunci rumah diterima dan ditandakan sebagai eksibit dalam kes itu kerana dua saksi pendakwaan sebelum ini telah memberi keterangan bahawa mereka tidak dapatmengenal pasti sama ada kunci yang ditunjukkan oleh pihak pendakwaan kepada mereka di mahkamah adalah kunci yang sama yang diterima daripada Sirul Azhar dan yang telah diserahkan kepada Sarjan Rosli Ibrahim di Jabatan

Komunikasi UTK.

Terdahulu dalam keterangannya, Zulkarnain memberitahu mahkamah beliau telah menemui tulang berukuran antara satu kaki dan 1.5 kaki serta beberapa

serpihan disyaki tulang, selain kesan daun terbakar di kawasan semak di lokasi mayat Altantuya dipercayai diletupkan.

Katanya Sirul Azhar telah menunjukkan dua tempat, satu di kawasan lapang di tepi semak dan satu lagi di kawasan semak.

Tun Abdul Majid: "Apa lagi yang kamu lakukan di tempat kejadian?"

Zulkarnain: "Saya hanya bantu menjaga tertuduh kedua dan beri apa-apa bantuan pada ASP Tonny sekiranya diperlukan."

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok.