Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lima kedai makan di Tanah Merah diarah tutup lima hari - JKNK
Diterbitkan:  May 28, 2024 9:04 AM
Dikemaskini: 1:04 AM

Lima premis menjual makanan di Tanah Merah diarahkan tutup 14 hari kerana didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan menerusi Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri Lima 2024 yang dijalankan kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata arahan penutupan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Pemeriksaan kali ini memberi keutamaan kepada premis makanan yang terletak sekitar bandar, jalan utama hingga sempadan Tanah Merah memandangkan ia menjadi tempat tumpuan orang ramai.

"Operasi kali ini melibatkan pemeriksaan ke atas 58 premis makanan terdiri daripada kedai makan dan restoran dengan membabitkan 80 petugas JKNK," katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Zaini berkata sebanyak 97 notis Seksyen 32B yang memerintahkan kehadiran di mahkamah dikeluarkan pihaknya kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya kesalahan itu termasuk berkaitan pakaian dan kebersihan pengendali makanan, tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya premis makanan dan tidak mempamerkan Perakuan Pendaftaran premis makanan.

"Jumlah nilai kesalahan di bawah notis Seksyen 32B itu ialah RM 20,450 dan boleh dibayar kompaun dalam tempoh masa sebulan dari tarikh notis dikeluarkan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS