Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kes serangan jantung, strok, darah beku tiada kaitan vaksin AZ'
Diterbitkan:  May 28, 2024 12:13 PM
Dikemaskini: 4:13 AM

Bekas ketua pengarah kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah menafikan kaitan kes serangan jantung, strok dan masalah darah beku yang berlaku ketika ini dengan pemberian vaksin AstraZeneca (AZ).

Malah, katanya menerusi satu hantaran di Facebook kesan sampingan akibat vaksin itu hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksinasi.  

“Orang ramai diminta tidak risau kerana vaksinasi terakhir AZ telah berlalu bertahun lamanya. 

“Kes mahkamah yang diwar-warkan adalah kes yang berlaku di United Kingdom sewaktu pandemik Covid-19. 

“Ia bukan berdasarkan kes yang berlaku baru-baru ini.kerana program vaksinasi sudah pun dihentikan, “ katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang menyedari kemungkinan kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia  (VITT ) akibat pengambilan vaksin tersebut.

“Bagaimanapun, vaksin ini masih perlu digunakan untuk program vaksinasi kerana kadar kematian akibat Covid-19 dalam kalangan masyarakat yang tidak divaksin amat tinggi dan ketika itu stok vaksin tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu membezakan antara kesan samping darah beku VITT dengan masalah pembekuan darah yang lain. 

Katanya, kriteria diagnosa VITT mestilah berlaku dalam sela masa empat minggu selepas vaksinasi dan perlu ada nilai platelet yang rendah. 

“Diagnosa tidak boleh dibuat dengan mata kasar tanpa pemeriksaan dan pengesahan oleh pegawai perubatan.

“Kita perlu berhati-hati dengan analisa fakta dan salah tafsir yang akan menyebabkan kekusutan serta kekeliruan di kalangan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Hisham berkata, golongan berisiko tinggi yang pernah mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini, juga tidak dibenarkan menerima vaksin jenis AZ.

Selain langkah berjaga-jaga, katanya, insiden kesan sampingan darah beku (VITT) juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam satu bagi setiap juta suntikan. 

‘Jika dibandingkan dengan risiko darah beku dan platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu sendiri, ia lebih selamat. Selepas jangkitan Covid-19, risiko kesan darah beku daripada jangkitan thrombotic thrombocytopenia (TT) ini adalah setinggi 165 000 kes dalam satu juta jangkitan. 

‘Insiden darah beku di kalangan perokok pula adalah lebih tinggi iaitu hampir 1800 kes dalam satu juta perokok. Tiada lagi kes VITT dikesan dan dilaporkan kini,” katanya.

Tambahnya, serangan jantung, strok dan masalah pembekuan darah yang masih berlaku kini adalah disebabkan faktor risiko lain seperti merokok, masalah kolesterol, dan masalah kencing manis.  


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS