PAS sudah sedia menghadapi pilihanraya umum dan meramalkan akan mengekalkan Kelantan dan merampas semula Terengganu, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada keseluruhanya, kata beliau, PAS akan memperolehi keputusan yang lebih baik daripada pilihanraya umum akan datang.

Abdul Hadi berkata, PAS yakin dapat merampas semula Terengganu berdasarkan ' mood ' rakyat terhadap parti pembangkang itu.

PAS, katanya, akan meletak lebih ramai calon wanita bertanding kali ini berbanding sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, parti itu tidak akan meletakkan calon bukan Islam kerana ia dilakukan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekutu PAS dalam Barisan Alternatif (BA).

"Kedah juga merupakan negeri tumpuan utama PAS, kerana jumlah undi Melayu yang diperolehi lebih tinggi berbanding di Kelantan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, PAS tidak menang di negeri itu kerana pengundi bukan Melayu didakwanya ditekan supaya mengundi Barisan Nasional (BN).

Ahli baru

"PAS juga menjangka menang beberapa kerusi di Selangor dan Perak serta Johor kerana pertambahan sokongan di kalangan pengundi muda di negeri itu," katanya kepada malaysiakini .

Abdul Hadi berkata, PAS mempunyai jentera pilihanraya dalam setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen dan semuanya telah bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum.

Sokongan kepada PAS, katanya, semakin meningkat ekoran parti itu menerima kemasukan kira-kira 1,000 ahli baru setiap bulan.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS bukan sahaja boleh menang di kawasan majoriti Melayu tetapi juga di kawasan pengundi campuran.

Menurutnya, Kelab Penyokong PAS akan berusaha untuk memastikan pengundi bukan Melayu mengundi calon PAS.

Mengenai senarai calon, Abdul Hadi berkata, Pahang sudah menyelesaikan senarai calon, manakala negeri-negeri lain sudah mencapai tahap 80 dan 90 peratus.

Menurutnya, di negeri bukan tumpuan parti itu seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak, PAS akan bekerjasama dengan PKR untuk menentukan jumlah kerusi yang ditandingi.

Beliau juga memberi jaminan PAS tidak akan memboikot pilihanraya umum kerana menurutnya ia satu tindakan yang tidak berkesan kerana rakyat belum boleh menerimanya.

Pindah pengundi

PAS memboikot pilihanraya kecil DUN Batu Talam awal tahun ini kerana mendakwa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak menjalankan pilihanraya dengan bebas dan telus.

Sementara itu, beliau berkata, pemindahan pengundi dari satu negeri ke satu negeri lain, yang juga membabitkan pengundi rakyat negara luar seperti Thailand, Indonesia dan Burma, bukan perkara baru.

"Pihak yang mempunyai kuasa ke atas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) boleh memindah dan membawa masuk pengundi dari satu tempat ke satu tempat," katanya.

Beliau bagaimanapun, enggan membuat sebarang ramalan mengenai tarikh pilihanraya kerana menurutnya ia hanya ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdul Hadi berkata, kebebasan media sangat penting dari segi demokrasi supaya rakyat dapat menilai antara parti pembangkang dan parti pemerintah sebelum membuat pemilihan.

Katanya, ia seperti perbicaraan dalam mahkamah di mana kedua-dua pihak memberikan keterangan sebelum hakim membuat keputusan.

"Kalau media hanya melaporkan sebelah pihak, bagaimanakah rakyat hendak membuat pilihan?," katanya.

Esok: Mampukan Umno pertahankan Terengganu?

Bhg 1: Umno, PAS terkena 'sumpahan' di K'tan?

Bhg 2: Umno K'tan harap krisis dalaman tidak berulang