MB S'gor: Kami sedia dedah perincian pelantikan syarikat suami menteri
Kerajaan Selangor terbuka untuk mendedahkan perincian berkenaan pelantikan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd’s (Asia Mobiliti) bagi projek pengangkutan awam negeri itu, kata Menteri Besar Amirudin Shari.
"Kami sanggup (lakukannya). Kami tiada masalah berbuat demikian kerana kami ada kebebasan maklumat," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Dia berkata kerajaan negeri juga sedia untuk menunjukkan minit mesyuarat melibatkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
“Apad kata hanya dua syarikat diberikan kebenaran untuk POC (proof of concept), jadi kerajaan negeri mempelawa kedua-duanya.
“Walaupun kami akan mengadakan tender terbuka, hanya dua syarikat ketika itu mempunyai kebenaran untuk melakukan POC, jadi persoalan sama ada patut ada tender terbuka atau tidak adalah tidak sah,” katanya.
Menurutnya, syarikat e-panggilan lain tidak dipelawa melaksanakan POC kerana tidak mendapat kelulusan Apad.
Kata Amirudin lagi, pengendali pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Bhd dan sebuah lagi syarikat, Kumpool Sdn Bhd, akan dipelawa mengemukakan cadangan POC mereka selepas mendapat lampu hijau Apad.
Sebelum itu pula, Exco Selangor Ng Sze Han berkata syarikat-syarikat yang terlibat dalam projek itu dipilih melalui proses request for proposal (permintaan untuk cadangan) bukannya melalui tender.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/10/6c947e752fe602abdcf10f257a1e64c3.jpg)
