Pak Lah: Sebagai PM tanggungjawab saya bangunkan K'tan
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata menjadi tanggungjawabnya untuk membangunkan Kelantan kerana beliau adalah Perdana Menteri kepada kerajaan pusat.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata menjadi tanggungjawabnya untuk membangunkan Kelantan kerana beliau adalah Perdana Menteri kepada kerajaan pusat.
Justeru, Abdullah memberi jaminan Kelantan tidak akan dipencilkan daripada arus pembangunan yang dirancang oleh kerajaan pusat, demikian menurut laporan Bernama.
"Bagi saya ia adalah tanggungjawab yang perlu saya laksanakan. Saya tahu negeri ini diperintah oleh parti pembangkang (PAS) tetapi ramai juga yang sokong parti yang saya pimpin ini (BN)," katanya ketika berucap di majlis Gandingan Gemilang Bersama Perdana Menteri di Kota Bharu malam tadi.
Abdullah berkata adalah tidak wajar untuk melihat Kelantan terus ketinggalan dalam pembangunan, sebaliknya beliau berazam untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri yang pesat membangun.
Katanya,rakyat Kelantan kini mahukan negeri itu dibangunkan dengan kemajuan yang pesat.
Sehubungan itu, katanya, peruntukan sebanyak RM7 bilion akan disalurkan kepada Kelantan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Beliau juga meminta kakitangan awam agar menganggap setiap tugasan dalam melaksanakan rancangan pembangunan sebagai satu perjuangan.
"Kalau mahu berjaya, tenaga yang melaksanakan mesti tenaga yang ada keupayaan, kesungguhan dan yang cukup penting mesti ada keikhlasan,"
katanya.
Beliau juga mahukan kakitangan awam sentiasa bersedia untuk menambah nilai mereka sebagai modal insan dengan ilmu pengetahuan terutama dalam
bidang sains dan teknologi.
Katanya dengan ilmu pengetahuan, kakitangan awam dapat bersaing dengan perubahan semasa yang bergerak pantas terutama dalam bidang teknologi
komunikasi maklumat (ICT).

