Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan lelaki tunjuk alat sulit pada wanita baru dikenali

Polis menahan lelaki berusia 27 tahun yang didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita dikenalinya menerusi media sosial Instagram pada awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata suspek ditahan pada 2.25 petang semalam di ibu negara ekoran laporan polis dibuat mangsa pada 17 Mei lepas.

"Mangsa mendakwa suspek yang dikenalinya sebagai peniaga dalam talian telah membuat panggilan video sebelum menunjukkan alat sulit dan bercakap lucah," katanya menerusi kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Mangsa yang berusia 24 tahun mendakwa menerima panggilan video itu semasa berada di rumah di Taman Melewar di Kuala Lumpur.

Mohamad Lazim berkata suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas direkodkan keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati sewaktu menggunakan media sosial dan tidak mudah terpedaya dengan individu baru dikenali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS