Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN sokong gesaan polis terus siasat dakwaan pengiring kerabat pukul OKU
Diterbitkan:  May 31, 2024 9:07 AM
Dikemaskini: 8:55 AM

PN menyokong gesaan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim polis harus meneruskan siasatannya berhubung dakwaan pengawal peribadi kerabat diraja memukul seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU).

Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan berkata berbeza dengan kes sivil yang boleh dihentikan dan diselesaikan atas persetujuan pihak yang terlibat, kes jenayah - terutama di bawah Kanun Keseksaan - perlu disiasat dan diambil tindakan apabila laporan dibuat.

"Prinsip kedaulatan undang-undang serta peranan pihak berkuasa sebagai pelindung kepentingan awam perlu dipertahankan serta dilihat diamalkan dalam semua keadaan tanpa mengira kedudukan, pengaruh mahupun status pihak terbabit.

"PN percaya isu-isu seperti pendakwaan terpilih, pilih kasih, kronisme, buli institusi, 'jerung dan bilis' dan lain-lain sudah membusuk dek begitu lama mengisi ruang bicara awam tanpa penyelesaian tuntas.

"Ia turut mewarnai hampir keseluruhan landskap serta suhu politik kita, termasuk imej negara di mata dunia," katanya dalam kenyataan semalam.

Pada Rabu lalu, Hassan ketika mengulas kes itu menegaskan dari segi undang undang jenayah tidak ada istilah kes telah selesai walaupun ia dinyatakan begitu oleh pihak pengadu.

Ia selepas Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa memaklumkan pengadu membuat satu lagi laporan pada malam hari yang sama, yang menyatakan dia tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.

Semalam, bekas Menteri undang-undang Zaid Ibrahim dan NGO Lawyers for Liberty turut senada dengan Hassan berhubung siasatan kes itu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata kes tersebut telah menimbulkan "rasa tidak selesa dan tidak percaya" terhadap kemampuan kerajaan melindungi rakyat dan menjamin keadilan untuk semua.

"Kegagalan pihak berkuasa bertindak mengikut tuntutan undang-undang akan terus memburukkan tanggapan sedia ada terhadapnya, terutama dalam isu-isu berkait tahap profesionalisme dan mutu perkhidmatan.

"PN sekali lagi menyokong penuh gesaan Hassan agar polis meneruskan siasatan kes dan mengambil semua tindakan perlu mengikut undang-undang bagi memastikan hak dan kesejahteraan semua rakyat dihormati seutuhnya.

"Masyarakat yang gagal membela serta melindungi anggotanya yang kerdil dan daif akan musnah di tangan anggotanya yang angkuh dan didewakan," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah bahawa insiden itu melibatkan pengiring keselamatan polis.

Menggesa siasatan menyeluruh dan berharap keadilan diberikan kepada mangsa, baginda menegaskan tidak akan membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS