Peguam kanan Baldev Singh Gurchan Singh menolak pelantikannya sebagai pengerusi Lembaga Rayuan Pulau Pinang baru-baru ini.
Ini susulan kontroversi pertalian keluarga Baldev selaku bapa mertua kepada Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo.
"Saya menolak jawatan itu," katanya ringkas, lapor FMT.
DUN Pulau Pinang pada 30 Mei lalu meluluskan usul untuk melantik enam ahli lembaga pengarah, dengan bapa mentua Jagdeep, Baldev Singh Gurchan Singh dilantik sebagai pengerusi.

Usul itu dibentangkan sendiri oleh Jagdeep (gambar atas) pada Khamis dan diluluskan dengan keputusan sebulat suara pada persidangan DUN.
Lembaga itu ditubuhkan di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010 [Enakmen 16].
Bekas presiden Majlis Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor dilantik sebagai timbalan manakala empat lagi ahli ialah Harinder Singh Malkit Singh, Carolyn Oh, Nagarethinam Rengasamy Pillay dan Regina Amalorpava Mary Aboorvasamy.
Pelantikan itu dikritik Pengerusi Urimai P Ramasamy yang menyifatkannya sebagai nepotisme dan menunjukkan konflik kepentingan atau penyalahgunaan kuasa.

“Adalah malang bahawa Jagdeep, anak kepada Karpal Singh yang terkenal, boleh sehingga mencalonkan bapa mentuanya sebagai pengerusi lembaga rayuan," katanya semalam.
“Baldev mungkin mempunyai pengalaman dan kelayakan, tetapi bolehkah ahli keluarga timbalan ketua menteri II sekarang dilantik ke lembaga rayuan,” soalnya lagi.
Ramasamy, yang merupakan bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, juga mempersoalkan bagaimana usul Jagdeep boleh terlepas daripada penelitian Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
