Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis kesan 2 individu baling pasu bunga di balai polis
Diterbitkan:  Jun 2, 2024 9:18 PM
Dikemaskini: 2:36 PM

Berang akibat ditegur kerana tidak memakai topi keledar, dua individu dipercayai dalam keadaan mabuk bertindak membaling pasu bunga tembikar ke arah Balai Polis Serdang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, A Anbalagan berkata, kejadian berlaku pada jam 6.30 pagi apabila dua suspek yang menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan pintu pagar Balai Polis Serdang.

“Apabila anggota bertugas mahu bertanya salah seorang suspek telah membaling sebuah pasu bunga tembikar ke arah pagar sebelah kiri balai polis dan terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, motif kejadian disyaki kerana tidak berpuas hati susulan pada jam 2.30 pagi hari yang sama, anggota yang bertugas menegur sekumpulan lelaki bermotosikal yang tidak menggunakan topi keledar di persimpangan lampu isyarat kira-kira 20 meter dari balai berkenaan.

Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat.

Tambahnya, sabit kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Dia turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini menghubungi IPD Serdang di talian 03-80742222 atau pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Hakimi di talian 011-17681105.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS