Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membantah langkah kerajaan menubuhkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) kerana ia boleh menjejaskan nasib 55,000 pekerja yang berkhidmat dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.

Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, ini kerana tugas yang hendak dilaksanakan perbadanan itu sedang dijalankan oleh para pekerja PBT.

Katanya, perbadanan tersebut diperuntukkan RM1 bilion bagi membiayai operasinya untuk mengambilalih pengurusan sampah dan sisa pepejal daripada PBT di seluruh negara, demikian menurut laporan Bernama.

"Apa akan terjadi dengan nasib para pekerja PBT, kedudukan mereka tidak jelas dengan penubuhan perbadanan itu," katanya kepada pemberita.

Sebelum itu beliau menghadiri Mesyuarat Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) cawangan Kedah Selatan, di Baling hari ini.

Rancang piket

Sehubungan itu, Omar berkata, pihaknya bersama Anulae akan berusaha mengadakan perbincangan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Ting "untuk mendapatkan satu jaminan yang kukuh mengenai nasib mereka".

"Sekiranya perundingan itu gagal, Cuepacs dan Anulae tidak akan teragak-agak mengadakan piket di satu tempat yang akan ditetapkan kelak selepas kongres Cuepacs pada 9 September ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya melihat penubuhan perbadanan itu tidak memberi banyak faedah.

"Apa faedahnya menubuhkan perbadanan itu dengan peruntukan RM1 bilion? Lebih baik peruntukan sebanyak itu disalurkan kepada semua pihak PBT dalam

meningkatkan tanggungjawab dan keberkesanaan dalam mencapai tujuan," katanya.

Selain itu, katanya, perbadanan itu melenyapkan fungsi utama PBT manakala pembayar cukai pula akan dibebani bayaran perkhidmatan pungutan sampah selain terpaksa membayar perkhidmatan pembentungan dan cukai taksiran yang sedia ada.