Kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak perlu dikembalikan semula kepada Umno selepas satu penggal ia diserahkan kepada parti Gerakan di dalam usaha kompromi politik bertujuan membolehkan Parti Progresif Penduduk (PPP) bertanding di kerusi Parlimen Taiping, sebuah kubu kuat Gerakan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno Perak "berkorban" dalam persefahaman yang dicapai sebelum pilihanraya ke-11, yang menyaksikan PPP bertanding di Taiping dan Gerakan di Bukit Gantang, tetapi ia adalah untuk satu penggal sahaja.

"Persefahaman tersebut adalah untuk satu penggal sahaja. Kita menuntut agar kerusi itu dikembalikan semula kepada Umno pada pilihanraya umum yang akan datang ini.

"Kita faham Umno Perak terpaksa berkorban kerana negeri-negeri lain tidak mahu memberikan kerusi kepada PPP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Ayer Hitam, di Batu Pahat hari ini.

Menurut laporan Bernama, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Menteri Penerangan dan Ahli Parlimen Bagan Datoh, menyifatkan Presiden PPP Datuk M.Kayveas yang bertanding di kerusi Taiping itu, sebagai seorang yang tidak mengenang budi atas pengorbanan Umno dan Barisan Nasional (BN) itu.

Menurutnya, selepas "berkorban" dengan menyerahkan kerusi Parlimen Bukit Gantang bagi memberi laluan kepada Kayveas untuk bertanding di Taiping, kini Presiden PPP itu seolah-olah mencabar BN dengan mengeluarkan kenyataan yang berbentuk ugutan.

"Jika kerusi Bukit Gantang itu diberikan semula kepada Umno dan Gerakan mendapat kembali kerusi Taiping, terpulanglah kepada Kayveas untuk mencari kerusi yang lain," katanya.

Baru-baru ini, Kayveas dilaporkan berkata dalam satu majlis PPP di Johor Baharu bahawa beliau akan membawa keluar partinya dari BN jika parti komponen BN itu tidak diberikan lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya umum akan datang.

Ahmad Zahid juga mengingatkan Kayveas supaya tidak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang berbentuk seperti "menolak BN ke dinding" kerana ia mungkin akan membawa padah.