Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bicara kes Adam Radlan ditangguh lagi
Diterbitkan:  Jun 10, 2024 3:07 PM
Dikemaskini: 7:07 AM

Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Timbalan Ketua Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, yang menghadapi 12 pertuduhan yang dijadualkan bermula hari ini, ditangguhkan ke 9 Julai.

Hakim Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Suzana Hussin, turut melapangkan tarikh perbicaraan hari ini sehingga 12 Jun selepas peguam tertuduh, Rajan Navaratnam, memohon penangguhan perbicaraan berikutan pihak pendakwaan baru sahaja menyerahkan satu set dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan pada 7 Jun lalu.

"Pihak kami (pembelaan) memohon masa untuk meneliti dokumen berkenaan," kata peguam itu.

Timbalan pendakwa raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata pihaknya tidak membantah permohonan penangguhan perbicaraan tersebut.

Katanya pihak pendakwaan baru sahaja dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa terdapat beberapa dokumen yang terlepas pandang untuk diserahkan bagi tujuan perbicaraan.

"Kami memohon maaf berhubung kelewatan untuk menyerahkan satu set dokumen itu kepada pembelaan," kata Mohamad Fadhly.

Selain 9 Julai, mahkamah turut mengekalkan tarikh perbicaraan pada 10 dan 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Adam Radlan, 43, didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan pengarah urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat terbabit mendapatkan surat sama bagi projek membina jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh sebagai upah bagi membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa.

Dia juga dituduh secara rasuah meminta wang RM2 juta daripada Lian sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan Adam Radlan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Januari 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS