Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya masih wakili ibu Zayn Rayyan, kata peguam
Diterbitkan:  Jun 11, 2024 12:15 PM
Dikemaskini: 5:38 AM

Peguam Mahmud Abdul Jumaat tampil menjelaskan bahawa dia masih mewakili ibu kepada kanak-kanak autisme yang mati dibunuh, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ini selepas media melaporkan dia menarik diri daripada mewakili pasangan suami isteri itu yang kini direman bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebooknya, Mahmud menjelaskan tidak timbul isu kesahihannya sebagai peguam mewakili kedua ibu bapa Zayn Rayyan sebelum ini seperti dipertikai datuk arwah, Zahari Mohd Reba.

Mahmud juga menafikan dia mewakili badan bukan kerajaan (NGO).

Sebaliknya, dia menjelaskan bahawa dia sebelum ini mewakili kedua ibu bapa arwah selepas dihubungi pada 31 Mei lalu oleh keluarga bapa arwah, selepas pasangan suami isteri itu ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman keesokkan harinya.

“Saya dengan suci hati niat ingin membantu dalam hati terdetik ‘Kesian mereka ini, sudahlah kehilangan anak, direman menjadi OYDS (orang yang disyaki) pula, besar dugaan mereka.

“Waktu itu saya tidak terfikir ini bakal menjadi satu isu yang akan dibangkitkan oleh pihak keluarga bapa arwah Zayn Rayyan.

“Walhal tiada kewajipan untuk surat pelantikan peguam secara rasmi bagi kes jenayah. Asalkan pihak OYDS atau wakil keluarga OYDS sudah setuju untuk melantik peguam tersebut sudah memadai.

“Apatah lagi sebelum saya masuk ke dalam mahkamah, telah saya sahkan dengan keluarga ibu bapa sendiri untuk memberikan amanah ini kepada saya bagi bantahan reman. Tidak perlu dibincangkan lagi bahawa saya memang ada di mahkamah pada hari tersebut, hanya kami peguam yang dipanggil oleh keluarga mereka. Kalau tak lantik kami, kami dipanggil untuk jadi apa?” katanya.

Pada 4 Jun lalu, Zahari - datuk kepada Zayn Rayyan -memaklumkan dia sudah melantik peguam baru mewakili ibu bapa Zayn Rayyan yang kini dalam tahanan reman polis.

Ini selepas media melaporkan Mahmud yang mewakili pasangan suami isteri itu menarik untuk memberi tumpuan pada kes-kes lain yang sedang dikendalikan.

Mengulas lanjut dalam kenyataan terbarunya, Mahmud yang merupakan peguam dari Tetuan Emir Mahmud & Co menjelaskankan dia memutuskan untuk menarik diri daripada mewakili pasangan itu selepas perjumpaan pada 3 Jun dengan datuk Zayn Rayyan.

“Tiba-tiba saya menerima berita bahawa saya tidak pernah dilantik untuk menjadi peguam ibu bapa Zayn Rayyan. Bagi saya ini adalah fitnah.

“Saya datang mahkamah tempoh hari tersebut untuk apa? Kenapa hubungi saya malam itu untuk datang ke mahkamah? Mereka datang ke pejabat saya tempoh hari untuk apa? Bukan itu sahaja, keluarga Zaim (bapa Zayn Rayyan) terutamannya ibu Zaim sentiasa menghubungi saya sepanjang tempoh itu. Meminta nasihat dan bertanya pendapat saya sebagai peguam,” katanya.

Mahmud juga menjelaskan bahawa dia sudah dihubungi oleh datuk Zayn Rayyan yang memohon maaf mengenai situasi yang berlaku.

“Saya harap isu pelantikan peguam tidak lagi berbangkit selepas ini. Untuk pengetahuan semua, saya masih mewakili ibu arwah Zayn Rayyan. Kami telah hadir ke mahkamah tempoh hari mewakili Isma (ibu Zayn Rayyan),” katanya.

Mahmud juga mengucapkan penghargaan kepada keluarga ibu Zayn Rayyan yang mengesahkan bahawa pihak peguam itu sememangnya membantu keluarga mereka dari awal kes.

“Orang berbudi kita berbahasa. Kalau tidak mahu ucapkan terima kasih sekalipun sekurang-kurangnya janganlah kita sakiti hati orang membantu kita.

“Saya rasa cukuplah kita berbincang tentang isu perlantikan peguam ini. Saya harap kita semua boleh terus berdoa agar arwah Zayn Rayyan mendapat keadilan,” katanya.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan sebelum ini dilapor berkata keterangan tidak konsisten antara faktor tempoh reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung.

Hussein juga berkata selain memperincikan siasatan, pihaknya juga akan menggunakan tempoh itu untuk memuktamadkan segala isu berkaitan kes termasuk bukti fizikal dan lokasi kejadian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS