Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naib YDP PAS Nibong Tebal jadi calon PN di Sg Bakap
Diterbitkan:  Jun 16, 2024 12:13 AM
Dikemaskini: 4:19 PM

PN hari ini mengumumkan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai calon pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.

Abidin juga sebelum ini bertugas sebagai pegawai khas bekas Adun Sungai Bakap Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Pencalonan itu diumumkan oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramah di Seberang Perai, Pulau Pinang malam ini.

Berucap ketika acara pengumuman malam ini, Abidin berkata dia akan meneruskan legasi Nor Zamri jika menang dalam PRK tersebut.

"Saya terlalu rapat dengan dia, jadi banyak kenangan pahit manis dengan dia," katanya yang juga merupakan pengarah pilihan raya PAS Sungai Bakap.

Antara pemimpin PN yang hadir adalah Naib Presiden PAS Idris Ahmad, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Terdahulu, PH mengumumkan bekas pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara Joohari Ariffin daripada PKR sebagai calon gabungan itu.

PRK Sungai Bakap akan berlangsung pada 6 Julai depan selepas kematian wakil rakyatnya daripada PAS Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu Nor Zamri menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 Jun ini sebagai hari penamaan calon.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS